Sunday, April 18, 2010

Meneliti Aib Diri Sendiri


Nukilan ini dari (Hujjatul Islam) Imam Ghazali:

Jika ALlah Azza wa Jalla menginginkan kebaikan bagi seseorang, ia akan membuat orang itu dapat melihat aib-aibnya. Orang yang memiliki basiroh (mata hati) yang tajam akan mengetahui aib-aibnya. Jika ia telah mengetahui aib-aibnya, maka ia dapat mengubatinya. Namun kebanyakan orang tidak mengetahui aibnya sendiri. Manusia dapat mengetahui kotoran yang terdapat di mata temannya, tetapi ia tidak mampu melihat ranting di depan matanya.

Barangsiapa hendak mengetahui aib-aibnya, maka ia hendaklah menempuh empat jalan berikut :

1. Duduk di hadapan seorang guru yang mampu mengetahui keburukan hati dan pelbagai bahaya yang tersembunyi di dalamnya. Kemudian ia mempasrahkan dirinya kepada guru dan mengikut petunjuknya dalam bermujahadah membersihkan aib itu. Ini adalah keadaan seorang murid dengan syeikhnya dan seorang pelajar dengan gurunya. Guru akan menunjukkan aib-aibnya dan cara merawatnya, tetapi di zaman ini guru seperti ini amat sukar dicari.

2. Mencari seorang teman yang jujur, memiliki basiroh (mata hati yang tajam) dan berpegang pada agama. Ia kemudian menjadikan temannya itu sebagai pengawas yang mengamati keadaan, perbuatan serta semua aib batin dan zahirnya sehingga ia dapat memperingatkannya. Demikian inilah yang dahulu dilakukan oleh orang-orang yang cerdik, orang-orang yang terkemuka dan para pemimpin agama.

Umar RadiyaLlahu 'anhu berkata : "Semoga Allah merahmati orang yang dapat menunjukkan aib-aib kepadaku."

Ketika Salman mengunjunginya, beliau berkata : "Cuba sebutkan perilakuku yang tidak engkau sukai."

Salman menolak dengan halus. Tetapi beliau terus memaksa. Akhirnya Salman berkata : "Aku mendengar engkau makan dengan 2 lauk dan memiliki 2 pakaian: satu engkau memakainya di siang hari dan satu lagi engkau memakainya di malam hari."

"Selain itu adakah hal lain yang engkau tidak sukai?" Tanya Saidina Umar.

"Tidak"

"Sesungguhnya dua perbuatan yang engkau sebutkan tadi telah kutinggalkan," ucap beliau.

Beliau (Saidina Umar RadiyaLlahu 'anhu) pernah bertanya kepada Huzaifah. "Engkau adalah sohibus sir (orang yang mengetahui pelbagai rahsia. Di antaranya Huzaifah mengetahui siapa yang munafik dan siapa yang bukan munafik) RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam yang dapat mengenali orang munafik. Apakah engkau melihat tanda-tanda kemunafikan pada diriku?"

Perhatikan, Saidina Umar dengan kedudukan yang agung dan mulia masih mencurigai dirinya. Semakin cemerlang akal seseorang dan semakin tinggi kedudukannya, ia akan jarang berbangga hati dan semakin sering mencurigai dirinya sendiri. Yang kedua ini juga sudah sukar untuk dicari. Sedikit teman yang mahu berterus terang dan menunjukkan aib kita.

3. Berusaha mengetahui aib dari ucapan musuh-musuhnya. Sebab, pandangan yang penuh kebencian akan berusaha menyingkap keburukan seseorang. Boleh jadi manfaat yang diperolehi seseorang dari musuh yang sangat membencinya dan suka mencari-cari kesalahannya adalah lebih banyak dari teman yang suka bermanis muka, memuji dan menyembunyikan aib-aibnya.

Namun, sudah menjadi watak manusia untuk mendustakan ucapan musuh-musuhnya dan menganggapnya sebagai ungkapan kedengkian. Tetapi, orang yang memiliki mata hari jernih mampu mengambil pelajaran dari pelbagai keburukan dirinya yang disebutkan oleh musuhnya.

4. Bergaul dengan masyarakat. Setiap kali melihat perilaku tercela seseorang, maka ia segera menuduh dirinya sendiri juga memiliki sifat tercela itu. Kemudian ia tuntut dirinya untuk segera meninggalkannya. Sebab, seorang Mukmin adalah cermin bagi Mukmin lainnya. Ketika melihat aib orang lain ia akan melihat aib-aibnya sendiri.

Tuesday, April 6, 2010

Mengapa Allah dahulukan CINTA


"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan cinta(mawaddah) dan belas kasihan(rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Ar-Rum:21)

Pergi ke mana sahaja forum atau ceramah yang berkisarkan dengan cinta,tidak kisahlah cinta manusia ataupun cinta monyet, penceramah pasti menggunakan ayat di atas bagi mengupas isu cinta kerana pada ayat ini Allah secara berterus-terang menyatakan manusia diciptakan untuk saling mencintai malah ayat ini menekankan bahawa perasaan cinta itu harus ada untuk dua jantina yang berbeza, lelaki dan perempuan, suami dan isteri.Maka,tidak hairanlah jika ayat ini dipilih oleh penceramah untuk menerangkan tentang cinta. Ayat yang sama saya dengari pada khutbah minggu lepas yang berkisarkan tentang perkahwinan. Khatib menjelaskan bahawa masalah atau kanser yang berlaku dalam masyarakat kita berpunca daripada institusi keluarga dan masalah dalam institusi keluarga ini bermula di saat perkahwinan lagi.

Berapa ramai yang hidup mewah tapi tidak bahagia kerana isteri dan berapa ramai yang hidup bahagia tetapi tidak mewah,juga kerana isteri. Isteri mesti memainkan peranan dalam menjaga kebahagian rumah tangga dan begitu juga suami.Dan masalah pada hari ini juga berlaku dek kerana ibu bapa menyekat anak-anak daripada berkahwin awal,atas alasan mereka belum bersedia dan tidak mampu menanggung anak orang.Jadi,mereka yang dikatakan tidak bersedia itu tanpa segan silu mencari pasangan yang juga kurang bersedia untuk melepaskan nafsu mereka. Ana terus angguk dan mengangguk,bersetuju dengan apa yang dibicarakan oleh khatib. Tiba-tiba,apabila khatib membaca ayat di atas dan menekankan perkataan mawaddah dan rahmah itu,ana tersentak dan tersedar akan satu kebesaran Allah dalam penciptaan manusia. Seperti ana selalu tulis,ayat quran tidak diturunkan secara rawak.Jika Allah sebut baik dulu baru sempurna,maka ada sebabnya. Jika Allah sebut perempuan dahulu baru lelaki,juga ada sebabnya.Allah tidak pernah mengeluarkan apa-apa fakta yang tidak mengikut susunan.Allah susun ayat Nya satu demi satu,dari setitis air mani,Allah susun kepada embrio,fetus dan manusia.Lihatlah betapa agungnya Al-Quran dan hal ini menjelaskan kepada kita bahawa bukan Muhammad yang menulis semua ini.Namun, jangan sesekali kita menafikan kebijaksanaan dan mukjizat Rasulullah.

Persoalannya di sini,mengapa Allah sebut cinta dahulu baru kasih sayang?Kenapa Mawaddah dahulu baru Rahmah? Jika ikut kepada akal yang waras,mestilah berkasih sayang dahulu barulah cinta itu lahir tapi mengapa Allah sebut cinta dahulu barulah berkasih sayang?Pelik tapi ada logiknya. Semua ini sebenarnya menepati fitrah kehidupan manusia.Kitaran hidup manusia bermula daripada bayi kepada kanak-kanak kepada remaja kepada dewasa kepada orang tua.Dan kebiasaan manusia berkahwin pada umur 15(baligh)-40(sebelum monopause) iaitu ketika kitaran remaja dan dewasa.Memang ada kanak-kanak yang kahwin seperti Saidatina Aishah dan memang benar ada juga orang tua yang kahwin tetapi bilangan golongan sebegini tersangatlah sedikit.Maka,boleh diabaikan.


Kenapa manusia berkahwin waktu remaja dan dewasa? Kerana waktu itulah perasaan cinta sesama manusia tersangatlah kuat. Kenapa anda bercinta? Sebab matanya yang cantik macam Heliza. Sebab suaranya merdu macam Siti Nurhaliza. Sebab wajahnya lawa seperti Lisa Surihani. Sebab kebijaksanaannya seperti Sofea Yusof. Sebab perangainya baik seperti Aisha dalam Ayat-Ayat Cinta. Jadi,bilakah semua sebab-sebab ini tertonjol dalam kitaran hidup manusia? Waktu kanak-kanak mereka? Waktu tua mereka? TIDAK,tetapi dalam waktu remaja dan dewasa.

Sebab Allah sebut cinta dahulu kerana Allah menyuruh kita betul-betul bercinta dengan pasangan kita pada waktu remaja dan dewasa supaya lahirnya perasan kasih dan sayang di dalam diri masing-masing kerana ketika waktu tua,semua sebab-sebab kita mencintainya sudahpun hilang,pudar dek usia yang memakannya. Dia yang mukanya lawa sudahpun berkedut… Dia yang suaranya merdu sudahpun sumbang… Dia yang perangainya baik sudahpun terlantar tidak mampu berkata apa-apa lagi.. Waktu inilah hasil cinta di waktu remaja dan dewasa tadi perlu digunakan.Jika tiada cinta,perasaan kasih dan sayang sukar diwujudkan.

Benar,perasaan kasih mungkin ada,kasihan melihat dia yang tiada tempat pergantungan, kasihan melihat dia yang terbaring tidak bergerak,kasihan melihat dia yang terberak di dalam seluar tetapi sejauh mana kasihan ini akan pergi jika tiada sayang? Mulut hanya mampu berkata kasihan tetapi tiada sebarang tindakan akan diambil kerana tiada sayang. Kenapa tiada sayang? Kerana tiada cinta.
“Allahuakbar,Allahuakbar…”Bilal melaungkan iqamah,menyedarkan ana dari lamunan panjang.

Sunday, March 7, 2010

تذكرة للمرأة

Aku suka melihat perempuan yang cantik ini, Jika disalurkan dirinya kepada kebaikan.. Akhlaknya seiring sejalan dengan kesempurnaan parasnya. Tapi sayang … Aku hairan melihat perempuan yang cantik ini, Seringkali menggoda lelaki.. Adakah mereka menganggap dunia ini akan kekal selamanya.. Adakah mereka tidak takut dengan azab seksa Allah? Aku pelik melihat gelagat mereka yang ingin dikenali oleh lelaki.. Jika nama mereka tidak di sebut di bibir-bibir lelaki, Mereka resah tak keruan.. Adakah mereka tidak mengetahui pandangan lelaki terhadap mereka.. Ataupun mereka memang suka lelaki mempermainkan diri mereka? Nama mereka di jaja ke sana ke sini… Seperti tiada nilai diri mereka.. Mereka seronok dan mungkin bangga.. Kerana ramai di antara lelaki yang mengenali mereka..


Dengan hanya kata-kata perangsang lelaki… Mereka mudah mempercayai.. Adakah mereka tidak berfikir panjang dalam menentukan sesuatu.. Adakah mereka ingin menjadi hamba nafsu lelaki? Insaflah dirimu wahai wanita… Janganlah kau jadikan dirimu perosak lelaki.. Kerana dirimu terlalu berkuasa dalam melalaikan mereka… Cukuplah dirimu dulu….yang hina… Sehinggakan siapa yang mengangkat darjatmu… Adakah kau mudah lupa? Siapa lagi Kalau bukan yang bernama lelaki… Rasulullahlah yang berusaha mengangkat ketinggianmu… Islam itulah dasarnya … Mengangkat martabatmu sehingga memuliakanmu Takkan kau sanggup membuat yang sebaliknya kepada kedunya? Ingatlah asal usulmu.. Jadi janganlah kau jadikan dirimu sebagai pemusnah… Pemusnah generasi ummah.. Adakah kau tidak barsyukur?

Jangan kau menjadi fitnah dunia yang sementara ini. Insaflah wahai puteri serikandi Islam… Yang berjiwa kuat… Jadilah dirimu mahal… Tidak mudah hanyut dengan kehendak nafsu… Jagalah dirimu dengan akhlak yang tiggi.. Hiasilah dirimu dengan pakaian malu yang menebal.. Sehingga kau akan dapati, Akan lahirnya seorang mujahid yang berjiwa kental.. Dalam menelusuri perjuangan dakwah ini… Dalam menegakkan islam dipersada dunia…

Al-Imam Tahtawi radhiyallahu anhu menyebutkan di dalam Haasyiyah Muraqi Al-Falah (kitab fiqh Mazhab Abu Hanifah) , beliau menukilkan perkataan daripada al-Imam Suyuti Radhiyallahu anhu : " Orang yang menyembunyikan perasaan rindu sebegini kepada seseorang yang dirinduinya maka jika dia mati dalam keadaan tersebut akan mendapat ganjaran seumpama golongan Syahid akhirat".

CATATAN DARI PELEMBAHAN NIL

DAIRY SANA'A REPUBLIK OF YEMEN

7/3/2010

Sunday, February 28, 2010

SECEBIS DARI KELAHIRAN BAGINDA SAW

Di antara tanda cinta dan sayang seseorang terhadap seseorang yang lain, ia sanggup menuruti apa sahaja yang dikehendaki oleh orang yang dikasihi-Nya.

Perasaan cinta adalah merupakan fitrah yang Allah bekalkan kepada seluruh makhluk ciptaanya sama ada Manusia mahupun haiwan. Kerana dengan perasaan fitrah inilah, maka lahir lah perasaan kasih-sayang antara satu sama lain.

Oleh kerana itu lah, kita sering mendegar ramai yang membincangkan adanya cinta sebelum kawin dan cinta selepas kahwin. Maka dengan itu, lahirnya perasaan kasih sayang di antara suami isteri , Ibu bapa kasih kepada anak-anak dan begitu sebaliknya.

Perasaan sebegini lahir disebabkan ianya adalah perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

من لا يرحم لا يرحم

“Barangsiapa yang tidak mengasihi orang lain, maka dia tidak dikasihi”

Akan tetapi perasaan Cinta dan kasih-sayang yang sebenar perlu diletakan bagi Allah dan Rasul nya. Firman Allah Taala:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمْ اللَّهُ (آل عمران/31)

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu "

Rasulullah SAW di waktu hayatnya tidak pernah mewasiatkan kepada para sahabat supaya menyambut hari kelahiran baginda. Begitu juga sebelum kewafatan nya, baginda SAW tidak juga mewasiatkan kepada umatnya supaya menyambut hari kelahirnya. Baginda SAW telah meninggalkan kita hampir 1400 tahun lamanya. Hari ini apa yang kita dapati, bila tibanya tanggal 12 Rabi’ul Awal, umat Islam seluruh dunia akan menyambut hari kelahiran baginda SAW dengan cara yang pelbagai. Ada di antara mereka menyambut dengan upacara perarakan dengan slogan-slogan yang berbagai, ada yang menyambutnya dengan diadakan majlis-majlis ilmu dan tidak kurang juga yang menyambutnya dengan majlis kenduri-kendara.

Tulisan ini bukan ingin membincangkan soal hukum-hakam menyambut upacara tersebut tetapi apa yang ingin kita bincang dan persoalkan, mengapa begitu sekali reaksi umat Islam setibanya tanggal kelahiran baginda SAW ini…..?

Ini adalah disebabkan bukti tanda kasih dan cintanya umat terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Satu ketika dahulu, bilamana dunia digemparkan dengan penghinaan ke atas Rasulullah SAW, apa yang kita saksikan umat Islam diseluruh dunia melenting melambangkan rasa tidak puas hati di atas penghinaan ini. Inilah diantara bukti, betapa kasih dan cintanya umat terhadap insan yang mulia ini.

Bilamana bercakap soal perasaan KASIH & CINTA terhadap Rasulullah SAW, ianya tidak mendatangkan apa-apa makna sekiranya ia hanya lahir dari ucapan dibibir semata-mata. Demikian juga jika sekiranya masing-masing hanya berlumba-lumba dengan hanya mendirikan slogan yang pelbagai bila tibanya sambutan maulid baginda. Sebaliknya kita seharusnya mempratikkan perasaan KASIH & CINTA kepada Rasulullah SAW dengan mengikut segala contoh peribadi Baginda dan melaksanakan segala perintah darinya yang tercatat di dalam Sunnah nya.

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (الأحزاب/21)

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang.

Para Sahabat Alaihim Aj’main, mereka merupakan kelompok manusia yang paling hebat dalam beramal dengan Sunnah Nabi SAW. Diantaranya Saidina Abu Bakar RA di dalam satu ucapan beliau menyatakan, “ Aku tidak pernah meninggalkan apa-apa pekara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sepanjang hayat baginda kerana aku bimbang jika aku meninggalkanya, ianya akan menyebabkan aku menyeleweng dari ajarannya ( sunnah). Demikian juga Abdullah ibnu Umar, syadidnya beliau dalam beramal dengan sunnah Nabi SAW sehinggakan tiap langkah perjalanan Nabi turut diikuti oleh beliau.

Rasulullah SAW diutuskan Allah bagi umat manusia seluruhnya. Ianya berbeza dengan Nabi-nabi sebelum daripadanya yang hanya diutuskan kepada umat-umat tertentu. Contahnya Nabi Hud AS kepada kaum Ad, Nabi Lut AS kepada kaum Thamud, Nabi Nuh AS kepada kaum Al-Mala’ dan Nabi Isa AS bagi kaum Bani Israil. Ini telah dijelaskan oleh Al-Quran di dalam banyak antaranya:

قل أيها الناس إني رسول الله إليكم جميعا ( الأعراف )

Katakan lah wahai Muhammad: “Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu seluruhnya”.

وما أرسلناك إلا كافة للناس بشيرا ونذيرا ( سبأ/28 )

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya”.

Pengutusan Nabi Muhammad SAW adalah sebagai Muallim bagi mengajar manusia cara hidup yang sebenar sepertimana yang dikehendaki oleh Allah Taala. Nabi Muhammad SAW tidak pernah jemu mengajak manusia untuk kembali dan beramal dengan ajaran Islam yang sebenar walaupun terpaksa menggadaikan nyawa baginda sendiri, sebagaimana peristiwa Dakwah baginda SAW bersama Zaid bin Haarisah kepada penduduk Thoif. Demikian juga selepas kewafatan baginda, Nabi Muhammad SAW telah meniggalkan ajarannya ( sunnah ) sebagai bekalan bagi umatnya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Aku tinggalkan kepada kamu dua pusaka, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kamu beramal dan berpegang dengan keduanya, iaitu Kitaballah ( Al-Quran ) dan Sunnahku”.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun kelahiran Baginda Nabi SAW ini, marilah sama-sama kita menghayati sebaik mungkin perjalanan hidup dan sumbangan Nabi SAW dalam perjuagan Islam sebagai tauladan kepada kita semua dalam meneruskan mata rantai perjuangan Islam ini.

Sayangnya kepada Nabi SAW tidak memadai dengan hanya mengadakan majlis makan minum semata-mata, berarak dengan slogan-slogan yang pelbagai tetapi mestilah beramal dengan ajaran yang ditinggalkan oleh Baginda secara keseluruhannya.

Disamping itu marilah sama-sama kita memperbayakan ucapan selawat serta salam kepada junjungan besar Baginda SAW. Kerana perintah Allah di dalam Al-Quran:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا (الأحزاب/56)

"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya"

قال النبي (ص): من صلي علي مرة صلى الله عليه بها عشر

Sabda Nabi SAW: “Barangsiapa berselawat ke atasku satu selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh kali selawat”

Jaulah Watary, Sana’a Yemen

28 Febuari 2010

7:15 Malam