Sunday, February 28, 2010

SECEBIS DARI KELAHIRAN BAGINDA SAW

Di antara tanda cinta dan sayang seseorang terhadap seseorang yang lain, ia sanggup menuruti apa sahaja yang dikehendaki oleh orang yang dikasihi-Nya.

Perasaan cinta adalah merupakan fitrah yang Allah bekalkan kepada seluruh makhluk ciptaanya sama ada Manusia mahupun haiwan. Kerana dengan perasaan fitrah inilah, maka lahir lah perasaan kasih-sayang antara satu sama lain.

Oleh kerana itu lah, kita sering mendegar ramai yang membincangkan adanya cinta sebelum kawin dan cinta selepas kahwin. Maka dengan itu, lahirnya perasaan kasih sayang di antara suami isteri , Ibu bapa kasih kepada anak-anak dan begitu sebaliknya.

Perasaan sebegini lahir disebabkan ianya adalah perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

من لا يرحم لا يرحم

“Barangsiapa yang tidak mengasihi orang lain, maka dia tidak dikasihi”

Akan tetapi perasaan Cinta dan kasih-sayang yang sebenar perlu diletakan bagi Allah dan Rasul nya. Firman Allah Taala:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمْ اللَّهُ (آل عمران/31)

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu "

Rasulullah SAW di waktu hayatnya tidak pernah mewasiatkan kepada para sahabat supaya menyambut hari kelahiran baginda. Begitu juga sebelum kewafatan nya, baginda SAW tidak juga mewasiatkan kepada umatnya supaya menyambut hari kelahirnya. Baginda SAW telah meninggalkan kita hampir 1400 tahun lamanya. Hari ini apa yang kita dapati, bila tibanya tanggal 12 Rabi’ul Awal, umat Islam seluruh dunia akan menyambut hari kelahiran baginda SAW dengan cara yang pelbagai. Ada di antara mereka menyambut dengan upacara perarakan dengan slogan-slogan yang berbagai, ada yang menyambutnya dengan diadakan majlis-majlis ilmu dan tidak kurang juga yang menyambutnya dengan majlis kenduri-kendara.

Tulisan ini bukan ingin membincangkan soal hukum-hakam menyambut upacara tersebut tetapi apa yang ingin kita bincang dan persoalkan, mengapa begitu sekali reaksi umat Islam setibanya tanggal kelahiran baginda SAW ini…..?

Ini adalah disebabkan bukti tanda kasih dan cintanya umat terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Satu ketika dahulu, bilamana dunia digemparkan dengan penghinaan ke atas Rasulullah SAW, apa yang kita saksikan umat Islam diseluruh dunia melenting melambangkan rasa tidak puas hati di atas penghinaan ini. Inilah diantara bukti, betapa kasih dan cintanya umat terhadap insan yang mulia ini.

Bilamana bercakap soal perasaan KASIH & CINTA terhadap Rasulullah SAW, ianya tidak mendatangkan apa-apa makna sekiranya ia hanya lahir dari ucapan dibibir semata-mata. Demikian juga jika sekiranya masing-masing hanya berlumba-lumba dengan hanya mendirikan slogan yang pelbagai bila tibanya sambutan maulid baginda. Sebaliknya kita seharusnya mempratikkan perasaan KASIH & CINTA kepada Rasulullah SAW dengan mengikut segala contoh peribadi Baginda dan melaksanakan segala perintah darinya yang tercatat di dalam Sunnah nya.

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (الأحزاب/21)

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang.

Para Sahabat Alaihim Aj’main, mereka merupakan kelompok manusia yang paling hebat dalam beramal dengan Sunnah Nabi SAW. Diantaranya Saidina Abu Bakar RA di dalam satu ucapan beliau menyatakan, “ Aku tidak pernah meninggalkan apa-apa pekara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sepanjang hayat baginda kerana aku bimbang jika aku meninggalkanya, ianya akan menyebabkan aku menyeleweng dari ajarannya ( sunnah). Demikian juga Abdullah ibnu Umar, syadidnya beliau dalam beramal dengan sunnah Nabi SAW sehinggakan tiap langkah perjalanan Nabi turut diikuti oleh beliau.

Rasulullah SAW diutuskan Allah bagi umat manusia seluruhnya. Ianya berbeza dengan Nabi-nabi sebelum daripadanya yang hanya diutuskan kepada umat-umat tertentu. Contahnya Nabi Hud AS kepada kaum Ad, Nabi Lut AS kepada kaum Thamud, Nabi Nuh AS kepada kaum Al-Mala’ dan Nabi Isa AS bagi kaum Bani Israil. Ini telah dijelaskan oleh Al-Quran di dalam banyak antaranya:

قل أيها الناس إني رسول الله إليكم جميعا ( الأعراف )

Katakan lah wahai Muhammad: “Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu seluruhnya”.

وما أرسلناك إلا كافة للناس بشيرا ونذيرا ( سبأ/28 )

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya”.

Pengutusan Nabi Muhammad SAW adalah sebagai Muallim bagi mengajar manusia cara hidup yang sebenar sepertimana yang dikehendaki oleh Allah Taala. Nabi Muhammad SAW tidak pernah jemu mengajak manusia untuk kembali dan beramal dengan ajaran Islam yang sebenar walaupun terpaksa menggadaikan nyawa baginda sendiri, sebagaimana peristiwa Dakwah baginda SAW bersama Zaid bin Haarisah kepada penduduk Thoif. Demikian juga selepas kewafatan baginda, Nabi Muhammad SAW telah meniggalkan ajarannya ( sunnah ) sebagai bekalan bagi umatnya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Aku tinggalkan kepada kamu dua pusaka, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kamu beramal dan berpegang dengan keduanya, iaitu Kitaballah ( Al-Quran ) dan Sunnahku”.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun kelahiran Baginda Nabi SAW ini, marilah sama-sama kita menghayati sebaik mungkin perjalanan hidup dan sumbangan Nabi SAW dalam perjuagan Islam sebagai tauladan kepada kita semua dalam meneruskan mata rantai perjuangan Islam ini.

Sayangnya kepada Nabi SAW tidak memadai dengan hanya mengadakan majlis makan minum semata-mata, berarak dengan slogan-slogan yang pelbagai tetapi mestilah beramal dengan ajaran yang ditinggalkan oleh Baginda secara keseluruhannya.

Disamping itu marilah sama-sama kita memperbayakan ucapan selawat serta salam kepada junjungan besar Baginda SAW. Kerana perintah Allah di dalam Al-Quran:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا (الأحزاب/56)

"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya"

قال النبي (ص): من صلي علي مرة صلى الله عليه بها عشر

Sabda Nabi SAW: “Barangsiapa berselawat ke atasku satu selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh kali selawat”

Jaulah Watary, Sana’a Yemen

28 Febuari 2010

7:15 Malam