Monday, January 25, 2010

KEPERIBADIAN DIRI ADALAH WARNA-WARNA KEHIDUPAN

Penampilan diri dan cara pengendalian hidup terbentuk atas dorongan diri sendiri. Keperibadian menyatakan sesuatu yang terkandung di dalam diri seseorang. Secara psikologinya, sesuatu itu harus tejadi pada diri kita sendiri apabila kita menginginkan perkara yang sama terjadi pada orang lain. Jika kita ingin di hargai, maka seharusnya terlebih dahulu kita menghargai orang lain. Di dalam Al-Quran juga disebutkan " Tidaklah kebaikan itu di balas melainkan dengan kebaikan juga ".
Sebagai makhluk yang bergelar manusia, sememangnya kita tidak dapat lari dari rasa kecewa dengan diri sendiri dan kitaran hidup. Ada di antara kita yang begitu kecewa dengan hidupnya hari ini, kecewa dengan keperibadian dan perwatakan sendiri. Mengapa terjadi demikian? Salah satu jawapan yang terhasil adalah kerana kita tidak pernah mengsyukuri nikmat-nikmat yang Allah berikan pada hari hari yang telah dilalui. Perlu diingatkan bahawa 'masa depan' kita adalah hari ini, jika kita mempunyai keperibadian yang kurang menyenangkan di hari semalam, maka hari ini adalah hari yang sesuai untuk kita memulakan sesuatu yang baik dan terbaik. Berfikirah sejenak, adakah kita memerlukan seorang sahabat yang paling rapat dan memahami, orang tersayang, guru atau penasihat untuk memperbaiki diri sendiri? Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kita memerlukan agen-agen tersebut untuk memperbaiki diri tapi rawatan yang paling mujarrab bermula dengan diri sendiri.

(a) Menjaga Kehormatan Diri

Hina dan rendahnya hamba di hadapan tuhannya adalah kehinaan yang semestinya. Hanya pada-Nya sahaja segala kekuasaan dan pemerintahan dan Dialah yang selayaknya untuk diagongkan.
Manakala kehinaan dan kerendahan di hadapan sesama hamba Allah adalah kehinaan yang tidak semestinya. Dalam hubungan sesama manusia, orang yang merasa dirinya besar dan mulia adalah orang yang telah melampaui batas, kerana dia cuba untuk memiliki sesuatu yang bukan haknya.
Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadis, maksudnya: "Barangsiapa yang ada di dalam hatinya rasa takabur ( besar diri) walau hanya sebesar biji sawi, Allah akan membenamkan mukanya di dalam neraka".
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik. Rasulullah SAW pernah bersabda:
Maksudnya: " Barang siapa yang sedih kerana soal-soal keduniaan, dia akan menjadi orang yang tidak redha kepada tuhannya, dan barang siapa yang mengeluh kerana ditimpa musibah sebenarnya ia mengeluh terhadap takdir Allah. Barangsiapa yang membongkok-bongkokkan diri di hadapan orang kaya untuk mendapatkan habuan, maka dia telah membuatkan Allah murka. Dan barangsiapa yang menerima Al-Quran, mengakui kebenaranya tetapi masuk neraka (kerana dosa-dosanya), maka Allah akan melindunginya dari neraka)".
Kebanggaan seorang muslim terhadap kehormatan dirinya, kebesaran agama dan keagongan tuhannya merupakan kebanggan yang mencerminkan kekuatan imannya. Kebanggaan kerana iman bukanlah kebanggan yang durhaka.

(b) Sabar dan Suka Memaafkan

Tingkat kesabaran sesorang dalam menghadapi hal-hal yang menyinggung perasaan adalah berbeza-beza. Ada yang tersinggung sedikit, segera memuntahkan kemarahan, dan ada pula yang sekalipun mengahadapi berbagai kesukaran tetapi tetap bersabar.
Watak asli yang ada pada sesorang memang besar sekali peranannya di dalam menentukan sifat pembawakan orang yang bersangkutan. Adakah dia orang yang mudah marah atau tenang? Adakah dia orang yang tergesa-gesa atau sebaliknya? Adakah dia berfikiran keruh atau jernih dan sebagainya.
Rasulullah SAW sebagai orang yang terkenal dengan sifat penyabar, tabah dan tidak cepat melatah bila menghadapi kekasaran daripada musuh-musuhnya dan juga pengikutnya. Adakalanya Rasulullah SAW marah, tetapi marah beliau berada di dalam batas-batas yang wajar, yang jelas diketahui dari sejarah perilakunya, beliau tidak pernah melakukan pembalasan kerana kepentingan peribadinya. Beliau marah hanya terhadap perbuatan-perbuatan yang melanggar perintah Allah.
Pernah terjadi, seorang muslim memaki-maki angin, kerana tiupannya yang kencang membuatkan bajunya tersingkap. Mendengar peristiwa itu Rasulullah SAW memperingatkan: "Janganlah engkau memaki-maki angin, Ia hanya menurut perintah Allah. Orang yang memaki-maki sesuatu bukan pada tempatnya, maka caci-makinya akan kembali kepada dirinya" ( At-Tarmizi)

Kesimpulan:-
1. Seni bertenang memang sukar untuk dipelajari. Hanya dengan kesungguhan dan keazaman serta kesabaran sesorang itu akan menikamati hidup ini dengan tenang dan damai. Tetapi berapa ramaikah insan yang boleh memahami akan hakikat dan manafaat menenangkan diri sendiri.
2. Memberi kemaafaan adalah lebih berguna daripada meluahkan kepada orang lain yang tidak melakukan kesilapan kepada kita.
3. Sikap anda adalah diri anda, ia menggambarkan seluruh keperibadian dan perwatakan sehingga anda menjadi orang yang disukai atau dibenci menurut kaca mata orang lain.

Wallahu A’lam
Binti Rahmatan