Sunday, November 16, 2008

FITRAH MENJADI FITNAH

Artikel ini bertemakan perkahwinan dan juga sebab sebab mengapa ada di antara kita memilih untuk berkahwin awal walaupun terpaksa berdepan dengan risiko yang mungkin tidak dapat di lihat, tapi risiko adalah satu lumrah kehidupan kita. Sekarang nikmatilah tazkirah ini.

Hati remaja selalu berkata, apakah salah kami bercinta? Rasa cinta memang tidak salah.Ia adalah fitrah semulajadi (instinct) yang ALLAH swt kurniaan kepada setiap manusia. Ingin bercinta dan dicintai adalah instinct. Jiwa manusia memerlukan cinta seperti jasad perlukan makanan. Oleh kerana cinta adalah fitrah, maka tentulah tidak salah merasainya. Namun ALLAH tidak kurniakan cinta secara polos begitu saja. Dia juga pencipta peraturan cinta demi menjaga kemurniaannya. Peraturan inilah yang kerap dilanggar.

Rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan selalu berlaku sewaktu menjalin hubungan cinta. Di sinilah selalunya remaja terjebak. Cinta terlarang adalah cinta yang menafikan peraturan yang telah ditetapkan oleh ALLAH swt. Ketika itulah FITRAH telah menjadi FITNAH. Bila kehendak semulajadi tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan.

Mengapakah perlu ada peraturan cinta?
Jawabnya kerana ALLAH swt mencintai manusia hambaNYA. Allah inginkan keselamatan dan kesejahteraan buat manusia melaksanakan keinginan fitrah semulajadinya. Keinginan tanpa peraturan akan menyebabkan banyak kemusnahan. Begitulah hubungan cinta yang terlarang akan membawa banyak implikasi negatif dalam kehidupan. Pengalaman sudah pun mengajar kita bahawa jangan sesekali bermain cinta, nanti terbakar diri. Sudah banyak tragedi yang berlaku akibat hubungan cinta yg membelakangkan Tuhan!
Hubungan cinta jangan dicemari oleh sebarang tindakan menyalahi syariat. Lebih banyak perlanggaran hukum berlaku, lebih tinggilah risiko kemusnahan yang akan berlaku. Jangan kuat tertipu dengan pesona cinta yang dihiasi dengan pelbagai janji dan sumpah setia.

Jangan kita mabuk dengan rindu dan asyik yang membuai dan melenakan. Seteguk kita minum dari kendi cinta terlarang, racunnya akan meresap membunuh akal, jiwa dan perasaan. Pada ketika itulah cinta dikatakan buta. Maka butalah mata hati dan mata kepala sehingga seseorang akan menjadi hamba kepada sesiapa yang dicintainya. Ketika itu hati tidak nampak yang lain kecuali apa yang dicintainya. Lupalah diri pada pencipta cinta kerana terlalu asyik dengan cinta yang dikurniakaNya. Bagaimanakah pula perasaan kita agaknya jika seseorang itu begitu leka dengan hadiah yang diberikan hingga terlupa bersalaman dan berterima kasih dengan pemberinya?

Allah swt kerap dipinggirkan dalam hubungan cinta terlarang. Seolah-olah cinta dan pencipta cinta itu sudah tidak ada kaitan antaranya. Hukum ALLAH dilanggar bukan dengan rasa bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah.
Tangan kekasih dipegang walaupun jelas ALLAH mengharamkan sentuhan antara lelaki dan perempauan yang bukan muhrim. Tergamak berdua-duaan di tempat sunyi walaupun sudah diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaan itu syaitan adalah pihak ketiga. Lebih dari itu pun banyak berlaku.

Semuanyanya seolah-olah halal kerana cinta. Racun-racun berbisa yang memusnahkan cinta telah dianggap sebagai baja. Akhirnya pohon cinta terlarang pun berbuah. Buah yang pahit, masam dan memabukkan. Buah yang muncul dengan pelbagai jenama yang aneh dan menjijikkan - zina, sumbang mahram,bohsia, bohjan, buang bayi dll lagi.
Ketika itu indahkah cinta? Peraturan cinta bagai tanda-tanda dan lampu isyarat di atas jalan raya. Kereta diciptakan dengan kuasa untuk bergerak tetapi pergerakkannya perlu diatur dan dikawal. Jika tidak, dengan kuasa itu akan berlakulah perlanggaran dan pertembungan. Begitulah cinta, ia adalah kuasa tetapi kuasa itu perlukan peraturan dan kawalan.

Apakah peraturan-peraturan dalam hubungan cinta? Hendaklah cinta kita itu didasarkan kepada cinta ALLAH. Ertinya cinta yang kita berikan kepadanya semata-mata kerana mengharapkan keredhaan ALLAH. ALLAH memberikan kita fitrah itu lalu niatkan dengan fitrah itu boleh menghampirkan diri kita kepada ALLAH swt.
Cintailah sesiapa pun, tetapi pastikan cinta itu dapat memudahkan kita mencintai ALLAH. Sehubungandengan itu, cinta antara lelaki dan perempuan mestilah diniatkan untuk ALLAH..