Tuesday, September 30, 2008

Eid Mubarak


Allahu Akbar..Allahu Akbar..Allahu Akbar Walillah hilham...
Eid Mubarak..
Kullu Am Wa antum bikhir...
Taqabbalallah minna wa minkum...
Semoga diterima segala amalan soleh & diampunkan dosa-dosa kita..Di kesempatan ini, ingin saya mengucapan Selamat Hari Raya Eidil Fitri, Maaf Zahir & Batin buat ayahda serta bonda di kampung, ahli keluarga, sanak saudara, rakan taulan dan semua para pengunjung yang budiman. Kita mengharapkan Ramadhan yang baru berlalu mampu meniggalkan kesan yang besar di dalam kehidupan seharian kita. Moga-moga kita semua telah berjaya mencapai matlamat yang telah Allah letakan disebalik ibadah ramadhan tersebut iaitu
'' Al-Muttaqin''

..Ameen, Insya Allah..

Friday, September 26, 2008

Tips 10 Ramadhan Terakhir

Bulan Ramadhan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Wahai muslimin dan muslimat sekalian, rebutlah pahala di sepuluh malam yang terakhir ini sesungguhnya di sepuluh malam yang terakhir ini. “Dimalam itu (Lailatul Qadr) malaikat dan ruh turun dengan izin Tuhan mereka …” (Al-Quran).Pernah dimalam itu Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia, Baitul Izzah. Ramadan 1429H/2008M semakin berakhir. Mukmin sejati semakin menggiatkan ibadah mereka khususnya di seluruh 10 malam terakhirnya, yakin pahala di salah satu dari malam-malam tersebut digandakan pahalanya sebanyak ibadah yang sama dikerjakan selama 1000 bulan! Itulah malam Lailatul Qadar. Pada 10 malam tersebut, demi berebut untuk mendapatkannya, Rasulullah saw mengasingkan dirinya dari isteri-isterinya, beriktikaf di dalam Masjid Nabawi, beribadah dan bermunajat kepada Allah swt sambil diikuti oleh para Sahabat ra. Firman Allah swt bermaksud, “Sesungguhnya Kami menurunkan (Al-Quran) dalam malam Lailatul Qadr. Tahukah kamu apa itu malam Lailatul Qadr. Malam Lailatul Qadr lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dalam semua urusan. Salam (sejahtera) malam tersebut hingga naik fajar” (Al-Quran).
Diantara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan ialah qiamulail, puasa fardhu, berbuka, solat Tarawih, tilawah Al-Quran, berdoa, zikir, istighfar, memuhasabah diri, merancang untuk amalan diri, keluarga dan Dakwah dan sebagainya.

Tips
Beberapa tips dalam merebut pahala dan kelebihan malam Lailatul Qadr :
1. Bersedia untuk merebutnya dari sekarang terutama disegi keyakinan, kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender harian agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk tujuan itu semata-mata, tidak untuk kesibukan lain.

2. Memahami bahawa dimana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di dunia ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada Allah swt dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk “Hari (Akhirat) yang tiada gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera” (Al-Quran).

3. Putuskan dari sekarang masjid mana yang akan kita gunakan untuk Iktikaf, siang dan malam, samada sebahagian atau 24 jam sehari. Pastikan AJK masjid tersebut memahami ibadah Iktikaf dan Qiyamullail 10 Malam terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan mereka yang tidak memahaminya.

4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara berjemaah.

5. Jika anda bekerja dibawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika anda tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba berktikaf di masjid sepenuhnya dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu 27/9/2008 dan Ahad 28/9/2008.

6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau assignments dari sekarang agar tidak tertimbun pada 10 malam terakhir Ramadan. Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan mencari tiket nanti.

7. Bersedia untuk Aidil Fitri lebih awal, sebelum 10 Malam Terakhir, agar kita tidak disibukkan nanti dengan membeli belah, memasang langsir, membuat kuih muih, menyiap atau menjahit pakaian Raya dan sebagainya seperti yang sering berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan menghayati kelebihan 10 malam terakhir Ramadan.

8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang bahkan pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa yang ada di dalam diri masing-masing. Madrasah 10 Malam Terakhir Ramadan yang bakal dilalui boleh turut membantu mencapai kearah perubahan tersebut. Semoga Allah mengurniakan ketaqwaan kepada kita setelah menjalani ibadah di bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh rahmah, keampunan dan selamat dari api neraka.
Ameen...

Wednesday, September 17, 2008

Nuzul Quran Merubah sikap Muslim

Muslim dan al-Quran:
Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan Ramadan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang tidak selari dengan fitrah mereka sendiri.
Ia menjadi inspirasi ke arah kebaikan kerana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat yang mampu merubah sikap manusia kepada sesuatu yang positif dalam hidup mereka.
Sayidina Omar bin al-Khattab yang dulunya dikenali sebagai seorang yang bengis dan amat membenci Rasulullah s.a.w. telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila dipertemukan dengan al-Quran yang akhirnya memeluk Islam.
Yang menariknya, Omar telah memeluk Islam hanya kerana membaca dan menatap beberapa potong ayat Quran daripada surah Taha dan setelah mengucap dua kalimah syahadah. Omar menjadi seorang Muslim yang amat komited dan yakin dengan Islam. Omar, setelah mengucap, terus mengisytiharkan keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah termasuk Abu Jahal.
Begitulah jauhnya perbezaan Omar dengan umat Islam pada akhir zaman ini. Tetapi yang peliknya, Omar dan umat akhir zaman juga mengharapkan untuk mendapat syurga dan rahmat pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan mereka amat berbeza.


Apa yang dimaksudkan dengan Nuzul al-Quran?
Nuzul yang diambil daripada perkataan bahasa Arab diertikan sebagai penurunan, sementara al-Quran pula merupakan kitab Allah yang diberikan kepada Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
Jadi istilah Nuzul al-Quran boleh diertikan sebagai penurunan al-Quran ke atas baginda Rasulullah sebagai petunjuk kepada umat manusia sejagat.
Waktu turunnya al-Quran?
Allah menjelaskan dalam surah al-Qadr, bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang dikenali sebagai Lailatul Qadr, pokok daripada ajaran isi kandungan surah ini ialah Al-Quran mula diturunkan pada malam tersebut yang nilainya lebih baik daripada 1,000 bulan, para Malaikat dan Jibril turun ke dunia pada malam tersebut untuk mengatur segala urusan.
Surah al-Qadr ini pula diturunkan di kota Makkah dan dihimpunkan dalam surah-surah Makkiyyah, iaitu surah yang diturunkan sebelum hijrah baginda Rasulullah s.a.w ke Madinah, isi pengajarannya ialah beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain.

Kenapa al-Quran diturunkan dan apakah fungsinya yang sebenar?
Dalil daripada al-Quran:
1- Ayat 15-16 surah al-Maidah :
Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah dan kitab yang menerangkan (Al-Quran). Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.
2- Dalam ayat 9 surah al-Hadid :
Dialah (Allah) yang menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad) ayat-ayat yang terang (Al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (Islam).
Jelas dari keterangan kedua-dua ayat di atas menunjukkan bahawa fungsi sebenar penurunan al-Quran ke atas manusia, tidak lain adalah untuk menyelamatkan mereka dari terus berada dalam kegelapan dunia yang terpaksa meraba-raba serta tanpa hala tuju hidup yang jelas dan sempurna kepada cahaya Islam, tidak cukup dengan itu, Allah SWT melalui kitabNya itu bertujuan untuk memimpin mereka ke jalan yang benar dengan memberikan kepada mereka petunjuk kebenaran agar mereka ditempatkan ke dalam syurga di akhirat kelak.
Dalil daripada hadis Nabi Muhammad s.a.w.:
Dari Ali Karramallahu Wajhahu, katanya: Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah Salallahu Alayhi Wasallam bersabda: "Sesungguhnya akan berlaku fitnah yan banyak." Aku pun bertanya: "Apakah jalan keluar darinya duhai Rasulullah?" Baginda menjawab: Kitabullah (al-Quran). Kerana di dalamnya terdapat kisah-kisah orang dan perkara sebelum kamu dan perkhabaran tentang apa yang akan datang sesudah kamu; dan terdapat di dalamnya hukum-hakam di antara kamu; Ia (al-Quran) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa yang meninggalkannya (menolaknya) kerana sombong, ia akan dibinasakan oleh Allah; dan sesiapa sahaja yang mencari petunjuk selain darinya akan disesatkan oleh Allah; Ia adalah tali Allah yang teguh dan ia adalah pengajaran (peringatan) yang bijaksana. Ia adalah as-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng dan terpesong; dan Ia adalah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak samar dan berputar-belit; dan para ulama pula tidak pernah puas menggali ilmu darinya (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti mendengarnya sehingga mereka berkata, "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, ia menunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." Sesiapa sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; sesiapa yang beramal dengannya, dia akan diganjari pahala, sesiapa yang berhukum dengannya, adillah dia dan sesiapa yang menyeru kepadanya, nescaya dia akan diberi petunjuk Siratil Mustaqim (jalan yang lurus) - HR Tirmizi dan Darimi.

Keterangan maksud hadis mengenai fungsi al-Quran:
Memang benar dan tepat sekali penjelasan baginda s.a.w. seperti dalam hadis di atas, bahawa pada akhir zaman akan berlaku terlalu banyak fitnah yang ditimpakan ke atas Islam dan Muslimin.
Sama ada fitnah itu dilakukan oleh mereka yang bukan Islam yang menaruh sifat benci amat mendalam serta dendam kesumat terhadap Islam dan umatnya, ataupun dilakukan sendiri oleh mereka yang bernama Islam.
Antara fitnah yang dilakukan oleh orang Islam sendiri seperti meninggalkan solat tanpa alasan atau sebab yang boleh diterima kerana menonton pertandingan bola sepak, pertandingan akhir mencari juara bintang popular dan sebagainya, tidak kurang juga golongan remaja muda dan tua yang tidak mengenakan kod berpakaian yang disyariatkan oleh Allah SWT, terlibat dalam pembunuhan, perjudian, rasuah, pecah amanah, penipuan dalam pilihan raya dan banyak lagi.
Kesemua yang disebutkan itu adalah fitnah yang menyukarkan golongan pendakwah untuk menyampaikan mesej Islam kepada bukan Islam tentang keindahan agama Islam kerana tindakan-tindakan liar itu menjadi batu penghalang kepada bukan Islam untuk menerima Islam, ataupun minat, cenderung atau simpati kepadanya.
Justeru, yang boleh menyelamatkan keadaan dan dari fitnah-fitnah tersebut adalah kitab suci al-Quran, kerana tujuan ia diturunkan seperti yang dijelaskan dalam ayat-ayat di atas adalah untuk meneylamatkan bangsa manusia serta mempimpin mereka ke jalan kebenaran.


Cara bagaimana al-Quran diturunkan:
Menurut Imam as-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan: Al-Quran diturunkan ke langit dunia pada malam al-Qadr secara sekali gus, kemudian diturunkan pula secara berperingkat selama dua puluh tahun, ada pendapat yang mengatakan dua puluh tiga tahun dan ada pula dua puluh lima tahun sejak Nabi Muhammad dilantik menjadi Nabi dan Rasul berdasarkan peristiwa dan keadaan tertentu yang hanya diketahui oleh Allah SWT pada tempoh tersebut.
Tetapi kenapa al-Quran diturunkan sekali gus ke langit dunia dan diturunkan tidak sekali gus malah berperingkat-peringkat ke atas baginda, perkara ini telah dijawab oleh Allah menerusi ayat 32 surah al-Furqan yang bermaksud: Berkatalah orang-orang Kafir : Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepada (Muhammad) sekali turun sahaja? Demikianlah (dengan cara itu) supaya Kami perkuatkan hatinya dan Kami membacanya kelompok demi kelompok (secara ansur-ansuran).

Surah pertama turun dalam al-Quran:
Menurut Imam as-Suyuti, surah pertama turun secara keseluruhan isi kandungannya ialah surah al-Muddathir, sementara riwayat Imam at-Tabarani pula surah yang sempurna diturunkan ialah al-Fatihah dan ada pendapat yang mengatakan ialah surah al-Alaq yang diturunkan hanya lima ayat pertama. Walau bagaimanapun mengikut susunan para ulama: Surah al-Alaq yang pertama diturunkan secara mutlak mengikut pendapat jumhur. Surah al-Muddathir pertama diturunkan dalam konteks menyampaikan mesej dakwah. Surah al-Fatihah pula pertama diturunkan sebagai pembuka kepada surah-surah lain dalam al-Quran.
Ayat terakhir turun dalam al-Quran
Perkara ini juga diperselisihkan oleh beberapa pendapat ulama berdasarkan riwayat hadis tertentu:
Pendapat pertama: Ayat terakhir turun ialah ayat mengenai pengharaman riba daripada ayat 278 surah al-Baqarah:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman. ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibnu Abbas.
Pendapat kedua: Ayat 281 surah al-Baqarah:
Dan peliharalah diri kamu dari (azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Ia berdasarkan riwayat an-Nasaie daripada Ibnu Abbas dan Said Bin Jubair.
Pendapat ketiga: Ayat 282 surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kesaksian dalam muamalat, iaitu ayat yang terpanjang dalam al-Quran. Ia berdasarkan riwayat Said Bin al-Musaiyab.
Pendapat keempat: Ayat 3 surah al-Maidah:
Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam itu menjadi agama bagi kamu.
Perbezaan pendapat di atas berlaku adalah disebabkan riwayatnya tidak sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w, ia hanya terjenti setakat di kalangan para sahabat, maka masing-masing menyatakan keyakinan yang dipercayai yang tidak menjejaskan pegangan akidah mereka, walau bagaimanapun menurut para ulama, kecenderungan mereka kepada pendapat keempat berdasarkan apa yang dibacakan oleh baginda sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir untuk bertemu Tuhannya.

Bersambung...

Sunday, September 14, 2008

TENTERA BADAR..SYAITAN DIRANTAI TAPI...

Berkata Miqdad (sahabat Rasul sebelum Perang Badar) kepada Rasulullah s. a. w: "Wahai Rasulullah! Kami tidak akan tinggal di sini sebagaimana dicakapkan oleh Bani Israel kepada Nabi Musa: 'Pergilah kamu dan Tuhan kamu dan berperanglah. Kami akan duduk di sini sahaja.' Tetapi kami akan berkata : 'pergilah kamu dan Tuhanmu dan berperanglah, dan kami akan bersamamu memerangi mereka.' " Itulah yang contoh sahabat di zaman Rasul yang mengambil pelajaran kesalahan yang dilaksanakan oleh umat Nabi Musa.



Tertarik dengan Firaun?

Rupanya pengikut Nabi Musa banyak terpegun dengan Firaun. Umat Nabi Musa kemudian ditunjukkan kesalahan Firaun sebagai penzalim di atas muka bumi dengan kufur pada Allah dan menggunakan politik untuk melenyapkan kalimah Allah. Namun usaha Firaun itu gagal malah di akhir hidupnya, dia mengucapkan kalimah keimanan tetapi ia ditolak oleh Allah.(40:84-85) Allah menunjukkan kematian Firaun di depan Bani Israel bagi menunjukkan kuasa manusia adalah terbatas dan kehebatan makhluk bukanlan yang hakiki sehingga kebanyakan manusia terpegun dan gerun. Kehebatan Allah-lah yang sebenarnya yang perlu kita imankan.



Orang yang bersalah mahu kembali ke dunia

Dalam Surah Al-An'am, Allah menceritakan bahawa manusia yang berada di neraka Allah akan memohon pada Allah untuk dikembalikan ke dunia untuk membaiki amal dan memperbanyak kebaikan. Tetapi Allah menempelak mereka bahawa Dia mengetahui mereka akan kembali berbuat keengkaran walaupun diberi peluang sekali lagi. Dan sungguh negeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi Neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami dan menjadilah kami dari golongan yang beriman. (Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta. (6:27-28). Hal ini tidak jauh bezanya analogi dengan Ramadhan yang kita ada sekarang.



Apa-apa kemajuan amal di bulan Ramadhan ini?

Telah bersabda Nabi SAW: Apabila menjelangnya bulan Ramadhan dibukalah pintu-pintu langit dan ditutuplah pintu Neraka Jahannam serta dirantai para syaitan. [Hadis al Bukhari] Sepatutnya bila syaitan dirantai, kita akan kurang berbuat dosa pada Allah dan kita akan menambah amal serta membaiki diri. Mengapa ? Kerana ramai yang sering menyatakan bahawa mereka berbuat dosa lantaran syaitan menggoda mereka dan menjerumuskan mereka ke lembah maksiat. Ada pula yang menyatakan syaitan yang mengganggu mereka sehingga tidak boleh ke masjid untuk solat, menutup aurat atau menjaga percakapan. Ada pula yang menyatakan syaitan menyuntik jarumnya hingga payah untuk solat di awal waktu atau belajar ilmu Allah. Dan ada pula berhujah: Syaitan yang banyak menggoda untuk bercampur lelaki perempuan tanpa batasan. Namun kalau Ramadhan sudah tiba, syaitan telah dirantai, tetapi masih lagi ada sisa tengik dosa di atas, mana silapnya?


Ramadhan - Madrasah Amal

Sebagaimana ada manusia di neraka nanti (nauzubillah min zaalik) yang mohon agar dikembalikan ke dunia, maka janganlah kita menjadi orang yang semata-mata meminta Allah kurangkan musuh penggoda agar mampu kita berbuat amal, tanpa usaha kita membaiki diri. Jika syaitan telah dirantai dan masih ada banyak dosa yang kita lakukan, koreksilah diri. Syaitan tidak berkuasa kecuali meniupkan was-was sahaja dalam manusia. Kita sendirilah yang perlu berubah mengawal nafsu untuk menurut perintah Allah. Inilah masa untuk memperbanyak amal.. agar lain sedikit dari hari biasa... dan moga madrasah amal Ramadhan membawa kesan di hari biasa nanti lantas kita 'deserve' untuk mendapat redha Allah kerana telah beramal dan mencari keredaan-Nya... dan tidak meminta Allah untuk dikembalikan ke dunia semula. Ameen

Dipetik dari iluvislam.com

Saturday, September 13, 2008

Mengutuk ISA


Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) mengutuk keras penggunaan ISA ke atas Bloger Raja Petra Kamaruddin, Wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng dan YB Teresa Kok Exco kerajaan negeri Selangor yg juga Ahli parlimen.
Bantahan ini dibuat bukan kerana menyokong kesalahan yang mungkin mereka lakukan, tetapi atas semangat menjunjung prinsip keadilan. Orang yang dituduh mesti dibuktikan di mahkamah dan diberi peluang untuk membela diri.
Sejarah telah membuktikan ISA hanya digunakan untuk musuh politik UMNO/BN. Apabila politik UMNO/BN terancam tindakan terdesak dilakukan dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri.
DPPNP melihat tangkapan ini dibuat bertujuan untuk melindungi individu dalam UMNO dan rakan kongsi mereka Gerakan dan MCA yang menghidupkan api perkauman. Perbalahan di kalangan parti komponen semakin parah dan akhirnya turut mengherat isu perkauman, maka jalan pintas untuk menutup tembelang ini ialah ISA.
DPPNP juga sangat tidak bersetuju jika ISA ini juga digunakan untuk menahan pemimpin UMNO dan pemimpin parti komponen BN lain, sekalipun mereka terlibat menghina agama Islam dan menghidupkan api perkauman. Kita tetap menjunjung prinsip keadilan. Mereka yang bersalah mesti diheret ke mahkamah.
DPPNP mendesak Kementerian Dalam Negeri segera membebaskan mereka dan jika ada tuduhan tertentu, maka kes mereka mesti dirujuk ke mahkamah.
Sekian
SUHAIMI MD SAAD
Pemangku Ketua DPPNP
Sumber :
www.najwasuhaimi.blogspot.com

Thursday, September 11, 2008

Sambungan...

Kisah Uwais Al-Qarni
Saya nak kaitkan dengan satu kisah iaitu bila Allah bagitahu kepada nabi Muhammad s.a.w. iaitu ada insan yang akan lahir dikalangan *Tabiin. Nabi berpesan kepada Umar dan Ali, "Akan lahir dikalangan Tabiin seorang insan yang doa dia sangat makbul nama dia Uwais al-Qarni dan dia akan lahir dizaman kamu". Kita telah mengenali siapa dia Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali iaitu orang-orang yang telah disenaraikan sebagai "al-Mubasyirun bil Jannah" iaitu mereka dah dijamin masuk syurga. Nabi seterusnya berkata kepada Umar dan Ali, "Dizaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doa dia sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dbesarkan di Yaman. Dia akan muncul dizaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia mintak tolong dia berdoa untuk kamu berdua." Sama juga macam kisah Siti Aisyah tadi, Umar dan Ali bertanya kepada nabi soalan yang sama iaitu "Apakah yang patut saya mintak daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah?" Nabi menjawab "Kamu mintak kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian". Banyak peristiwa sahabat yang berjumpa dengan nabi, minta sesuatu yang baik kepada mereka, nabi menjawab "Pohonlah al-Maghfirah daripada Allah swt." Jadi, topik al-Maghfirah (keampunan) ini menjadi topik yang begitu dicari yang begitu releven, hatta kepada orang yang telah disenaraikan sebagai ahli syurga. Kalau logiknya ahli syurga macam dah tak perlu kepada ampun dosa kerana mereka dah dijamin masuk syurga, tetapi tidak, nabi masih tekankan supaya mintak Allah ampunkan dosa. Memang benarlah firasat seorang nabi, Uwais al-Qarni telah muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Memang mereka tunggu dan cari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu mereka dengan Uwais al-Qarni. Dengan pandangan mata luar, tidak mungkin dia orang yang nabi maksudkan. Kerana orang itu pada pandangan insan-insan biasa atau orang-orang yang datang bersama dengannya bersama kabilah menganggapkan dia seorang yang akal tidak sempurna (wire short), sesuatu yang macam tidak betul pada pandangan orang. Tetapi dia ada sesuatu. Sayidina Umar dan Sayidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais ini minta satu sahaja iaitu minta supaya doakan supaya Allah swt. mengampun semua dosa-dosa mereka. Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata "Aku datang ini dari Yaman ke Madinah kerana aku nak tunaikan wasiat nabi kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku. Aku datang ini nak tunaikan wasiat itulah". Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.
Memang hairan
Seperti yang saya sebutkam dipermulaan tadi "Faya 'ajaban liman adraka ramada na fala yukh farulah", Memang hairan orang yang dapat hidup sampai Ramadan ini, tetapi dosa dia tidak diampun. Kalau malam ini malam Qadar, fokus kita selalunya memanglah nak minta hal-hal keduniaan. Kalau kita dapat rasakan dalam perasaan dalaman seorang insan kecil hamba Allah ini apa yang hendak kita mintak di malam Qadar? Saya rasa orang tidak begitu berminat untuk minta supaya diampunkan segala dosa, mereka akan minta yang lain pula, minta saham naik, perniagaan laris, dapat kahwin lagi dua, kaya, mesti pilihan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, sedangkan "Wallah yuridul akhirah". Allah dan RasulNya lebih mengutamakan penghidupan akhirat itulah yang paling mustahak sekali. Selama ini pun kita tidak tahu bahawasanya terampunkah dosa-dosa yang telah kita buat? Walaupun kita rasa macam dosa itu Allah telah ampunkan. Ada peluang yang macam ini iaitu malam Qadar atau berpeluang berjumpa dengan orang-orang yang konfirm macam tadi iaitu doa-doa mereka makbul seperti orang-orang yang soleh dan seumpamanya doa yang paling utama dan besar diminta ialah minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa kita. Bukan kata orang lain sebagai contoh besar, hatta nabi yang dikatakan "Ghoforollah hu mat taqadaman", Allah ta'ala ampunkan dosa dia yang telah lalu (jika ada) dan juga ampun untuk yang akan datang. Tetapi kenapa nabi masih berdoa kepada Allah tiap-tiap hari tidak kurang dari seratus kali iaitu "Astagh firruka humma waatubu ilaih". Sehari seratus kali , sembahyang baginda, berdoa panjang-panjang sampai dikataka juga (hadith Aisyah) sampai bengkak kaki nabi. Sampai Siti Aisyah berkata kepada nabi, "Ya Rasulullah, kenapalah sampai kamu teruk-teruk beribadah hingga bengkak kaki, sembahyang lama-lama, menangis lama-lama, tidakkah Allah telah ampunkan dosa kamu dahulu dan kemudian?". Nabi menjawab "Kalau demikian adanya mengapa aku tidak menjadi hamba yang bersyukur". Syukur maknanya melakukan ibadah kepada Allah swt. Inilah yang saya katakan tadi, datanglah sistem yang Islam kemukakan kepada ummah, seluruh aktiviti-aktiiti ibadah, penumpuan kepada persiapan-persiapan yang dikatakan "Wa tazau wadu" kesemuanya ditujukan ke arah pembersihan diri, hati, akal dan budi daripada yang dipanggil "al-khush" (yang tidak baik). Pembersihan hati, pembersihan diriAl-Quran memberikan satu analogi iaitu Bumi kalau sudah cantik dan subur dia mudah menumbuhkan pokok-pokok yang bermanfaat dan bagi bumi yang kotor (bagi maksud tidak sesuai ditanam tumbuhan) seperti tempat berbatu dan berpasir, tanam apapun tak tumbuh, kalau tumbuh pun dia tak jadi seperti tempat yang lain. Maksudnya sama seperti insan, kalau yang disimpan dalam diri kita ini kotor (benda yang jijik) maka tidak akan keluar melainkan yang kotor juga. Kalau dalam diri kita baik, dia akan menumbuhkan yang baik, amal dia baik, kata-kata dia baik, akhlak dia baik, muammalah dia baik dan dia dikatakan orang yang baik. Allah itu baik, Dia tidak terima amalan melainkan amalan yang baik juga. Sebab itu dari awal Islam datang dah ada sistem seperti contoh ayat-ayat al-Quran yang awal turun surah Al-Mudatsir, firman Allah yang bermaksud "Wahai orang-orang yang sedang tidur, bangunlah kamu beri peringatan kepada manusia (maknanya bergerak dalam satu wadah perjuangan, mengerakkan jiwa diri sendiri dan jiwa insan) dan kepada Tuhanmulah kamu wajib membesarkanNya, jangan mengagungkan yang lain, agungkan Allah swt. sahaja.
Caranya diberikan beberapa analogi seperti apa yang kamu pakai iaitu pakaian biasa, rumah tempat tinggal, kereta yang dinaiki dan apa sahajalah mestilah yang bersih, kamu kena sucikan dia. Sebab ini sangat kena dengan ayat yang nabi hayati. Diantara pakaian yang nabi suka pakai ialah pakaian putih yang melambangkan suci dan bersih. Walaupun kadangkala nabi pakai warna merah dan hitam didalam peperangan tetapi yang paling nabi sukai ialah warna putih. Sebab itu kita lihat, pakaian haji putih, kain kafan putih (tak pernah nampak lagi kain kafan warna hijau, kain kafan biru lagi tak pernah nampak). Ditempat saya masjid-masjid gunakan kain putih sebagai alas tempat sujud. Serban umumnya putih. Serban nabi putih kadangkala ada yang hijau. Apabila diluar memakai pakaian putih bersih maka didalam diri perlu buang segala kekotoran. Islam mengajar agar diluar bersih sehingga kedalam diri juga bersih. Kalaulah inilah yang nabi buat dari pada mula memanglah bulan Ramadan ini yang utama ialah untuk membersihkan diri. Krisis dunia vs krisis dosa
Semua krisis-krisis dunia, semua masalah yang insan hadapi didunia, yang kita hadapi hari ini dalam semua masalah, pergaduhan, hutang yang banyak, akan berakhir bila orang itu mati. Kita berjanji dengan orang, bertelagah, bergaduh, semua krisis-krisis dunia ini kepada seorang insan dia habis bila dia mati. Tetapi krisis dosa dengan Allah ta'ala khasnya krisis keimanan, krisis kerana kita menyimpan dosa yang melibatkan iman dan sebagainya, didunia dia tidak menampakkan masalah tetapi sebenarnya ia akan bermula apabila telah hampir nak mati, masuk kubur lagi masalah, alam barzakh lagi masalah, sampai kepada alam mahsyar lagi bermasalah puncanya balik kepada dosa tadi. Sebab itu nabi telah bagi satu garis panduan yang cukup senang kita faham. Kita tidak disuruh minta dimalam Qadar supaya turun emas dari langit, minta agar dikasihani oleh semua orang, minta agar dijadikan ketua selama-lamanya, untung berniaga, bukan itu yang patut diminta. Sebaliknya nabi bagi contoh kalau ini dapat kamu capai walaupun dunia kamu susah sekejap tetapi kamu akan berakhir krisis dunia ini bila kamu mati. Jika kamu ada dosa ini mati bermula suatu penghidupan yang perit, malah dari sejak nak mati sekalipun sudah bermula, sampai kepada peringkat orang-orang yang "Zalimi an fusu hum" orang-orang yang menzalimi diri mereka dalam kehidupan ini kerana membiarkan dosa, banyak melakukan dosa, tidak cuba untuk membuang dosa, bila nak mati akan datang malaikat kepada mereka dengan pemukul untuk pukul muka, belakang hingga ke punggung mereka. Ia bermula daripada nyawa nak keluar, tergantung-gantung diantara langit dan bumi, diantara barzakh dengan tidak barzakh, masuk kubur terseksa. Sebab itulah nabi nak lepaskan kita daripada seksaan ini semua, nak pastikan kepada isteri dia Siti Aisyah pun berpesan "Kalau kamu dapat malam Qadar jangan minta yang lain selain daripada minta supaya diampunkan Allah segala dosa". Begitu juga nabi berpesan kepada sahabat-sahabat yang lain supaya bermohon supaya Allah ampunkan segala dosa.
Penutup
Memang telah menjadi tradisi kita di Darussyifa', kita bertemu sekali dalam bulan Ramadan bersama-sama berbuka puasa, bersolat tarawih dan saya berpeluang untuk berucap mengajak diri saya dan mengajak semua orang. Kita akan manfaatkan Ramadan ini dengan fokus kita supaya tidak ada lagi dosa, kalau ada dosa diampunkan. Caranya kita jangan tambah dosa, yang ada selesaikan. Minta ampun yang berbaki daripadanya. Dan AlhamdulilLah jika kita diambil oleh Allah dibulan Ramadan lebih-lebih lagi jika kita mati di Mekah di bulan Ramadan. Macam baru-baru ini orang Malaysia yang mati kemalangan jalanraya di Mekah, kita cemburu kerana Allah pilih dia dan tidak pilih kita. Pilih mereka yang dalam musafir, dalam keadaan buat Umrah, dalam bulan Ramadan pula, mati syahid dunia kerana mereka luka parah, kemudian disembahyangkan pula di Masjidil Haram yamg setiap malam sembahyang itu jutaan manusia yang mendoakan mereka masuk syurga. Jadi itu satu keberuntungan kerana Allah pilih mereka. Kita pula menunggu giliran entah dimana.. Maka persediaan kepada kita, pada saya, pada saudara sekalian, kita ambil peluang Ramadan ini untuk Allah ampunkan dosa kita semua. Supaya kita termasuk dikalangan hamba yang akan beruntung khasnya selepas kita kembali kepada Allah swt. Selamat berpuasa, selamat berhari raya, maaf zahir batin, terima kasih kepada yang menganjurkan majlis malam ini Darussyifa' dan kita mengharapkan kepada Allah swt. agar sentiasa menghimpunkan kita sebagai orang-orang yang sentiasa berkasih sayang dan saling bermaaf-maafan menuju kepada kerahmatan dan keberkatan Allah swt.