Sunday, February 22, 2009

10 Muwassafat Tarbiyah

Muslim yang ingin mempersiapkan diri dalam perjuangan Islam perlu memperbaiki dirinya agar sentiasa terkehadapan daripada manusia lain. Risalah Islam yang syumul ini hendaklah difahami dengan membentuk diri yang syumul juga. Maka hendaklah diteliti di sini tentang aspek-aspek seorang da’ie Muslim dalam rangkanya untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna. Sifat-sifat yang perlu ada pada diri ialah:

1) Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)

Dakwah adalah berat pada tanggungjawab dan tugasnya, maka di sini perlunya seorang da’ie itu tubuh badan yang sihat dan kuat. Rasulullah saw menitikberatkan soal ini, sabdanya:
"Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan."

Kita juga hendaklah sentiasa memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riadah dan tidak memakan atau minum suatu yang boleh dan diketahui merosakkan badan.

2) Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)


Akhlak kita ialah Al-Quran dan ianya terserlah pada diri Nabi saw. Telah dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Hasan Al-Banna dalam kewajipan seorang da’ie iaitu bersifat sensitif, tawadhu’, benar dalam perkataan dan perbuatannya, tegas, menunaikan janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dan lain-lain.

3) Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)

Seorang da’ie perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain perihalnya di samping perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis serta ulama’ yang thiqah. Pesan Imam Hasan Al-Banna:
"Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi."

Selain itu, seorang da’ie perlu mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, sentiasa mempelajari sirah, kisah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.

4) Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)

Seorang da’ie walaupun kaya, perlu bekerja. Dia juga tidak boleh terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan. Dalam keadaan tertentu, meletakkan jawatan dan meninggalkan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan yang diterima. Selain itu, dia hendaklah sentiasa melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan). Dalam soal kewangan, menjauhi riba dalam semua lapangan, menyimpan untuk waktu kesempitan, menjauhi segala bentuk kemewahan apatah lagi pembaziran dan memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam adalah beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan.

5) Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)

Seorang da’ie semestinya redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad saw sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Sentiasalah muraqabah kepada Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir. Di samping itu, jangan dilupakan tugas menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.

6) Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)


Seorang da’ie perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya, perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram dan tidak melampau atau berkurang (pertengahan) atau dengan kata lainnya bersederhana dalam setiap urusan dalam kehidupannya.

7) Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)


Seorang da’ie perlu mempunyai azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam di samping tidak menghiraukan apa orang lain kata dalam mempraktikkan Islam yang sebenarnya. Perlulah diingatkan bahawa dai'e mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.




8) Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)

Sentiasa beringat bahawa waktu, nilainya lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula. Mengimbau kembali sejarah di zaman dahulu, para sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.

9) Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)

Untuk manfaatkan waktu dengan baik, maka timbulnya keperluan kepada penyusunan dalam segala urusan. Gunakanlah segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.

10) Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)

Da'ie umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh jalan orang lain. Da'ie adalah penggerak kepada dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup dan terkuburnya Islam bergantung kepada da’ie. Amal Islam seorang da’ie ialah untuk menyelamatkan orang lain daripada kesesatan. Da'ie akan sentiasa merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.

Friday, February 13, 2009

Kenangan Valentine Seorang Mujahidah

Aku lontarkan pandangan pada buih-buih putih. Buih demi buih. Ku alih pula pada ombak yang beralun, menghempas pantai. Setia, ombak dan pantai, bagai janji yang dipateri. Setiap masa ombak merindui pantai yang setia menanti.

Aku larikan pula bebola mataku pada camar yang berterbangan, sekali-sekala menyambar ikan-ikan kecil di laut, kemudian terbang bebas di angkasa. Ku usir pasir di kaki dengan hujung kasut, halus bersinar bila disinari matahari. Bebola yang bersinar lembut di ufuk timur menyenangkan. Ku berterima kasih pada redup pohon rhu yang menaungiku.

Kadang-kadang daun-daun kering berguguran menimpaku. Disapa pula bayu laut yang lembut, menenangkan. Sungguh, alam ciptaan Allah yang amat indah. Saling melengkapi. Pantai ini tidak pernah berubah, masih tetap cantik. Tidak teracun dengan pembangunan yang menggila, tetap setia menerima pengunjung.

5 tahun lalu, pantai ini sama seperti ini, yang bezanya peristiwa. Bezanya sejarah yang tak dapat diubah. Pantai ini pantai yang bernastolgia. Pantai ini berserakan dengan memori yang tak pernah aku cuba cantum. Biarlah ia begitu. Biarlah aku menikmati, mengutip memori demi memori, kemudian aku ketawa dan menangis. Pantai ini pantai yang bermakna. Pantai inilah yang merubah detik-detik sejarah hidupku. Memori yang tak akan ku padam sampai bila-bila. Biarlah ia sentiasa segar, sentiasa mekar. Sama seperti hari ini, di atas bongkah batu besar di bawah pohon rhu yang teduh, 5 tahun lalu, aku duduk di sini.

Sejak pagi lagi aku sudah berada di sini. Aku tunggang VR 125 sebelum menjamah sarapan pagi, membuatkan dahi mamaku berkerut. Pertanyaan mama ku biarkan tanpa jawapan. Hatiku pecah berderai, bagai kaca dihempas ke batu. Aku dapat rasakan hatiku bagai disiat-siat. Pedih. Sungguh pedih kekecewaan ini. Aku kemudiannya mengheret kakiku tanpa arah tujuan. Menyusuri pantai yang panjang. Aku cuba lontarkan kekecewaan ini ke tepi laut untuk melepaskannya, tapi aku tak mampu.

Masakan kasih yang dibina kukuh sebelum ini boleh ku lupakan begitu sahaja. Bolehkah janji sebelum ini dilupakan begitu sahaja??

Letih mengheret kaki menyusuri pantai, akhirnya aku memilih untuk duduk di atas sebongkah batu besar yang teduh diredupi sepohon rhu tua. Aku masih tidak dapat menerima apa yang sudah berlaku. Aku teresak-esak di atas bongkah batu bagaikan seorang kanak-kanak. Aku tenggelam dengan esakanku. Ajaibnya air mataku bagai tidak kering-kering mengalir membasahi pipiku yang sudah lencun. Aku teresak dan terus teresak sambil kutekupkan kedua tanganku di muka. Aku bagaikan berada di awang-awangan, dalam duniaku yang tersendiri. Aku terus hanyut. Hanyut dalam tangisanku.

“Assalamualaikum” Satu suara lembut memberi salam kedengaran dari sebelah kananku. Aku angkat mukaku. Kelihatan seorang gadis tersenyum memandangku. Aku kira dia tua sedikit daripadaku melihatkan wajahnya yang kelihatan matang. “Waalaikumussalam” Jawabku acuh tak acuh. “Boleh saya duduk?” Gadis itu memohon kebenaran untuk duduk di sebelahku. “Duduklah, lagipun bukan saya punya”. Aku masih acuh tak acuh. Lantas gadis itu duduk di sebelahku. Kemudian dia senyap, pandangannya di lontar jauh ke tengah laut.

Kemudian bibirnya seolah-olah menguntum senyum. Dia seolah-olah menikmati keindahan alam yang indah ini. “Cantikkan?” Gadis itu tiba-tiba bersuara setelah beberapa ketika mendiamkan diri. “Hmm?” Aku kurang jelas dengan soalannya. “Cantikkan alam ini? Ombak itu..” tunjuknya pada ombak yang beralun. “Alunan ombak seolah-olah menggambarkan hidup manusia, ada ketika gembira, ada ketikanya juga akan berduka. Ia sama, kerana keduanya akan terpampan pada pantai yang setia. Begitu juga manusia, duka itu akan ada akhirnya jua”. Aku tersentap. Gadis itu seolah-olah dapat membaca pemikiranku.

“Siapa awak ni?” Aku sangsi dengan kewujudan gadis ini. “Maafkan saya kerana terlupa memperkenalkan diri. Saya Izzah”. Dia tersenyum ikhlas sambil menghulurkan tangan. “Rieyn, Adrina” Tangannya ku sambut ragu-ragu. “Boleh kita sama-sama lalui ujian ini?” Dia tersenyum memandangku menyerlahkan keikhlasannya. Aku merenungnya tanpa kata. Aku tarik panjang nafasku kemudian ku lepas beransur-ansur.

Gadis ini bagaikan mengetahui apa yang bergolak di hatiku. “Luka di hati ini tak sama dengan luka fizikal. Luka fizikal dapat dirawat, tapi luka di hati ini terus begitu”. Ujarku lemah sambil menggigit bibir. Entah bagaimana aku mempercayai Izzah. Naluriku mengatakan dia gadis yang punyai prinsip. “Ujian bukannya untuk kita larikan diri, tetapi ujian adalah tarbiyah dari Allah, untuk kita lalui, kerana di sebalik ujian itu tersimpan sejuta hikmahnya”. Tenang Izzah menuturkan kata.

“Tapi hati ini terlalu kecewa. Hati ini bagai dirobek belati”. Aku menggagahkan diri untuk bersuara. Rasanya terlalu pedih untuk aku luahkan. Air mata kurasakan kembali bergenang. Perasaanku kembali bergelora bagaikan ombak di lautan. “Sebenarnya dah lama Izzah perhatikan Rieyn. Sejak Rieyn datang ke sini lagi. Izzah perhatikan Rieyn berjalan-jalan seorang diri di tepi pantai. Bila puas, Rieyn duduk kat batu ni kan?”. Izzah terangkan dengan jelas. Dan aku mula bercerita kepada Izzah.

Saya kenal Zamri setahun lalu. Dia boleh dikategorikan sebagai lelaki pilihan perempuan. Tinggi dan berwajah tampan. Orangnya juga bijak dalam pelajaran. Saya antara ramai wanita yang cuba mendampingi Zamri. Entah macam mana Zamri memilih saya sebagai temannya. Perhubungan saya dan Zamri mula intim dari hari ke hari. Tidak sah satu hari tanpa ber ‘sms’ dan telefon. Zamri seorang yang pandai mengambil hati. Dia selalu membeli hadiah untuk saya. Dia juga berjanji untuk menjaga saya sebaik mungkin. Kami digelar pasangan paling ideal di sekolah. Paling penting kami saling menyayangi. Pantai ini selalu menjadi saksi janji kami.

Saban minggu pantai ini menyambut kedatangan kami. Bersama kami melihat alunan ombak menghempas pantai lalu menghasilkan buih-buih putih. Juga kami berkejaran riang di gigi air mengutip kulit-kulit siput. Saya merasakan bahagia menyelubungi kami. Kami saling berjanji untuk sehidup semati. “Dalam usia semuda ini?” Izzah menyampuk ceritaku. “Ya, kami saling berjanji sehidup semati. Usia bukanlah penghalang kami. Kami mahu berjanji setia pada hari kekasih. Hari yang semua pasangan kekasih menyambutnya”. Sambungku. “14 Februari? Bukankah hari ini?” Izzah bagaikan tidak sabar. Tapi aku meneruskan ceritaku tanpa mempedulikan soalan Izzah.

14 Februari. Hari Valentine. Kami sudah berjanji untuk menyambutnya di sini. Di pantai yang indah ini. Tapi rupanya betullah kata orang-orang tua, kusangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari. Zamri gagal saya hubungi sejak minggu lepas. Telefon bimbitnya dimatikan. Saya tiada nombor telefon rumahnya. "Biar saya yang telefon awak." Dia selalu berkata begitu apabila saya meminta nombor telefon rumahnya. Dia telefon saya menggunakan telefon bimbitnya. Rumahnya juga tidak diberitahu kepada saya. Nanti tiba masanya saya akan tunjukkan. Dia menuturkan begitu apabila bertanyakan rumahnya. Tapi saya positif, mungkin dia tidak mahu diganggu.

Hingga ke hari inilah dia tidak dapat dihubungi. Dan kerana itulah saya di sini. Aku menamatkan ceritaku pada Izzah. “Saya mengerti perasaan awak. Setiap insan mempunyai fitrah untuk menyayangi dan disayangi”. Izzah berespon segera. “Tapi saya rasakan saya ditipu. Perasaan saya dipermain-mainkan”. Aku meluahkan perasaan yang bersarang di lubuk hati. “Rasulullah juga punyai perasaan menyayangi dan disayangi. Cintanya pada Khadijah, isteri Baginda tiada tolok bandingnya. Khadijahlah yang banyak menemani Baginda melalui ranjau perjuangan. Khadijahlah yang member perangsang kepada Baginda. Kasih sayang Khadijahlah menyelimuti hati Baginda tika keluh kesah”. Izzah pula bercerita.

“Betulkah begitu?” Aku menyoal kehairanan. Tidak pernah cerita ini diperdengarkan kepadaku. “Islam tidak menghalang kasih sayang. Buktinya ditunjukkan melalui Rasulullah s.a.w. Baginda menangis tika Khadijah meninggalkan alam ini. Sehinggakan tahun pemergian Khadijah digelar Tahun Berkabung. Kita boleh berkasih sayang tetapi jangan kita melanggar batas batasan agama kita”. Luncur Izzah menuturkan bicara.

“Islamlah cara hidup yang memenuhi fitrah manusia. Semua kehendak manusia dapat dipenuhi oleh Islam”. Izzah tersenyum memandangku. Hatiku terkesan dengan kata-kata Izzah tadi. Selama ini tiada orang yang berbicara topik ini denganku. Baba dan mama? Baba sibuk dengan politiknya. Lobi sana, lobi sini. Tabur duit sana, tabur duit sini. Wakil rakyat penggal depan sasarannya. Mama pula sibuk dengan persatuan wanitanya. Lawatan sana sini. Setiap hujung minggu ada aktiviti. Tinggallah aku keseorangan di rumah dengan Mak Cik Kiah, pembantu rumahku. Abangku di IPT. Adikku di sekolah berasrama penuh.

“Mahukah Rieyn bersama kami?” Izzah bersuara setelah melihat aku diam sejenak. “Awak buat apa kat sini sebenarnya? Awak datang dengan siapa lagi?” Aku inginkan kepastian. “Saya datang bersama kawan-kawan. Sebenarnya kami ada perkelahan. Kalau Rieyn nak sertai kami bolehlah. Kat hujung sana tu..” ujar Izzah sambil menunjukkan tapak perkhemahannya. “Boleh juga” Cepat aku menyatakan persetujuan. Aku sebenarnya ingin mengenali Izzah dengan lebih rapat. Gadis ini nampaknya punyai banyak keistimewaan.

Lantas aku telefon mama. Maklumkan aku tidak balik rumah malam ini. Mama diam tanpa kata. Bukan kali pertama aku tidur di luar. Lantas aku mengatur langkah-langkah mengikuti Izzah ke perkhemahannya. Alangkah terkejutnya aku, kesemua mereka bertudung labuh. Aku ingatkan Izzah seorang sahaja yang bertudung labuh dan berjubah. Satu fenomena baru bagiku. Sekumpulan gadis berjubah dan bertudung labuh berkelah! Setahu aku golongan seperti ini amat terbatas pergerakan. Jubah dan tudung labuh itu bagai memenjara fizikal dan mental. Namun hari ini anggapanku sebelum ini silap. Tudung labuh bukanlah membataskan aktiviti seharian. Bahkan mereka sangat peramah dan berlemah lembut.

Musyrifah, Husna dan ramai lagi menghulurkan salam ukhwah kepadaku. Aku jadi malu. Aku tidak bertudung! Aku pakai t-shirt! Aku berseluar jeans! Gaya ranggi wanita moden! Namun mereka tidak memandang aku lain dari mereka. Aku dilayan bagaikan seorang puteri. Ombak berderu menghempas pantai mematikan kenanganku.

Itu cerita 5 tahun lalu. Detik-detik yang merubah perjalanan hidupku. Tarikh yang ku ingati bukan kerana Valentine, yang kemudiannya baru aku dapat tahu umat Islam tidak menyambutnya kerana ia merupakan perayaan penganut Kristian untuk mengingati seorang paderi yang giat menyebarkan agama Kristian hingga ke akhir hayat.

Izzah tidak pernah mengerti erti putus putus asa dalam membimbingku ke jalan yang benar. Izzahlah yang mengajarku berjemaah. Mengajarku erti tadhiyyah dalam berjuang. Izzahlah yang mengajarku erti perjuangan. Izzahlah yang mencelikkan mataku terhadap penderitaan umat Islam di Palestin, di Iraq, di Afghanistan, di Kaashmir. Juga di sini.

Aku melalui ujian yang mencabar tetapi inilah ganjaran untuk mereka yang memilih jalan ini. Aku dapat rasakan usiaku sepanjang perjuangan. Aku teringat kata-kata Syed Qutb, pejuang yang syahid di tali gantung. Katanya “orang yang hidup untuk perjuangan tidak akan merasa pendek dengan umurnya, kerana umurnya sepanjang perjuangan yang akan berterusan”.

Hari ini, di pantai ini aku memakai tudung hijau sutera Turki bercorak fauna berserta jubah juga berwarna hijau. Warna kesukaan Rasulullah. Tudung dan jubah ini sebenarnya hadiah dari Izzah sempena persahabatan kami pada saat pertama kali kami bertemu 5 tahun yang lalu. Lambang perjuangan katanya.

Buat Izzah, aku nukilkan kembali seuntai kata yang aku temui semasa menatap sebuah majalah. Mungkin penulisnya mendedikasikan buat kekasihnya, tapi tidak mengapa rasanya aku menukilkan buat sahabat seperjuangan.



Hari ini sekali lagi aku menitiskan air mata di pantai yang indah ini. Air mata kali ini bukanlah air mata yang sia-sia. Air mata buat sahabat seperjuangan yang pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya. Izzah pergi menemui Pencipta. Saban tahun aku pasti ke sini. Mengutip memori yang berserakan. Memori yang akan ku pastikan terus segar di hatiku. Izzah, pengorbananmu semulia namamu. Tinggallah aku meneruskan perjuangan…

www.iLuvislam.com
aisha althafunnisa
Editor: deynarashid

Wednesday, January 21, 2009

Palestin...Apa Yang Dapat Kami Bantu

Sebenarnya kisah Palestin tenggelam dan timbul kerana banyak isu lain yang lebih diutamakan di dalam akhbar-akhbar dan media massa. Sehinggalah beberapa hari ini Israel semakin mengganas dan membunuh lebih 300 orang Palestin.

Apa hebatnya Palestin sehingga semua umat Islam perlu mengambil cakna kepadanya?

Palestin dianggap tanah suci umat Islam berdasarkan firman Allah swt yang bermaksud :


"Wahai kaumku! Masuklah kamu ke tanah suci yang telah Allah swt perintahkan bagi kamu sekalian."
(Surah al-Maidah : ayat 21)


Palestin adalah tanah yang diberkati Allah. Firman Allah swt yang bermaksud :


" Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah kami berkati di sekelilingnya.

(Surah al-Isra' : ayat 1)



Firman-Nya lagi yang bermaksud :


" Dan telah Kami tundukkan untuk Sulaiman angin yang sangat kencang tiupannya yang berhembus dengan perintah-Nya ke negeri yang telah Kami memberkatinya. Dan adalah Kami Maha Mengetahui segala sesuatu."

(Surah al-Anbia' : ayat 80)



Di tanah itu terdapat Masjid al-Aqsa yang merupakan kiblat umat Islam yang pertama sebelum ditukar ke Masjidil Haram menghadap Kaabah. Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud :
" Tidak digalakkan mengambil berat dalam pengembaraan kecuali kepada 3 masjid : Masjid al-Haram, masjid ini (Masjid Nabawi) dan Masjid al-Aqsa." (Riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Abu Daud)

Di bumi ini, terdapat ramai pesuruh Allah swt yang diutuskan di antaranya adalah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak dan Nabi Luth. Di sini juga adalah bumi Nabi Muhammad saw diisra'kan.

Allahu... Allah...





Bangunlah Wahai Pahlawan Islam

Bumi ini pernah diperintah oleh Kristian selama beberapa ketika dan akhirnya jatuh ke tangan pahlawan Islam yang terkenal iaitu Salahuddin al-Ayyubi, seorang pemuda bangsa Kurdi, bukan berbangsa Arab. (Sesiapa yang berjuang di atas nama Islam, pasti Allah akan tingkatkan darjatnya)

British telah mengisytiharkan penubuhan negara haram Yahudi menerusi Perjanjian Balfour pada 2 November 1917 dan mendapat persetujuan Amerika Syarikat pada 31 Ogos 1918.

Pelajar Melayu yang belajar di Mesir pernah berjuang dengan menubuhkan Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) yang kemudiannya ditukar nama kepada Persekutuan Melayu Mesir (1952) dan akhirnya nama yang terakhir adalah Persekutuan Melayu Republik Mesir, PMRAM (1971) bersama-sama kerajaan Mesir pada masa itu untuk memerangi tentera Israel yang bergabung dengan Perancis dan British. Pada 29 Oktober 1956, di atas semangat persaudaraan Islam, PMRAM telah menyertai tentera Mesir memerangi tentera musuh hingga ke perbatasan Suez. Para pelajar yang tidak berkeupayaan menyertai jihad ini telah memberi sumbangan dengan menderma darah. Golongan siswi pula tidak ketinggalan memberikan sumbangan menerusi khidmat menjahit pakaian tentera.

Mereka Saudara Kita

Dan kini bumi Palestin telah digemparkan sekali lagi dengan peristiwa pembunuhan yang seolah-olah tidak akan sampai ke penghujungnya sehinggalah Yahudi melalui Israel Zionis menguasai setiap inci tanah Palestin. Namun yang perlu kita fikirkan adalah nasib saudara-saudara seIslam yang terkorban dan al-Aqsa di bawah penguasaan Israel Zionis.

Apa yang dapat kami bantu wahai saudaraku...

1. Sekiranya anda seorang guru, ustaz, penceramah, rakan-rakan yang sedar dan cintakan saudara seIslam serta al-Aqsa, sampaikanlah kepada mereka akan kepentingan Palestin, Masjidil Aqsa serta semaikan di jiwa mereka kisah pahlawan Islam dan penderitaan saudara kita di sana. Sesungguhnya kita ini disatukan dengan kalimah La ila ha illaAllah.

2. Sekiranya anda berkemampuan dari segi kewangan maka bolehlah menderma di sini.

3. Sampaikan berita-berita terkini mengenai Palestin dan umat Islam di negara lain melalui emel, YahooGroup, SMS, MMS, majalah dan sebagainya sebagai medium penyampaian untuk memberi kesedaran kepada umat Islam dan rakyat Malaysia tentang penderitaan rakyat Palestin.

4. Anda boleh berusaha untuk memboikot barangan atau pengeluar yang membantu Israel dalam membangunkan ekonomi dan membunuh umat Islam di Palestin.





5. Sekiranya anda seorang penulis, wartawan, kolumnis atau seorang yang mempunyai kesedaran tentang pentingnya menyelamatkan tanah Palestin, al-Aqsa dan umat Islam, silalah untuk menulis surat, menulis artikel dan petisyen. Mudah-mudahan dengan usaha ini, ada di antara mereka yang berkuasa dan benar-benar sayangkan Islam akan memanjangkannya kepada pihak atasan, kedutaan dan lebih dari itu, OIC.

6. Sekiranya anda seorang penulis blog, admin web, pereka grafik yang kreatif membuat widget, bolehlah memaparkannya di blog dan web masing-masing. Anda disarankan juga untuk memakai baju "Bebaskan Palestin".

7. Jangan lupa untuk mendoakan mereka di Palestin, juga untuk para pejuang Islam yang sedang berjuang di negara masing-masing.

Mudah-mudahan dengan usaha kecil kita ini dapat meringankan beban penderitaan umat Islam di Palestin. Dan Allah memandang kita sebagai Muslim yang telah berusaha untuk membantu saudara-saudaranya...InsyaAllah.

Sumber Rujukan :

1. Professor Madya Dr Mohsen M Salleh, Isu Palestin, Latarbelakang dan Kronologi Perkembangannya sehingga tahun 2000, 2001, Fajar Ulung, Kuala Lumpur.

2. Abdullah Nasir Ulwan, Pejuang Pembaharuan Salahuddin al-Ayyubi, Cetakan Pertama 1999, Darul Nuqman,
Kuala Lumpur

3. Ibnu Ismail, Nostalgia Syuhada' Palestin. Cetakan Pertama 2003, al-Qassam Library, Pahang.


Dipetik dari www.iLuvIslam.com

GAZZAH : NERAKA ISRAEL

Sumber : http://arruhuljadid86.blogspot.com/

Sebuah laporan yang tidak anda perolehi dari

Media Pro Amerika

Pada pukul 10.30 waktu mesir 19 Jan 09 telah diadakan sidang media oleh Brieged Qassam yang diwakili oleh Abu Ubaidah. Ini diantara butir2 dalam sidang media tersebut:

80 TENTERA ISRAEL YG TERBUNUH (PALING KURANG)

49 DIBUNUH SECARA SECARA LANGSUNG.

48 SYAHID DIKALANGAN PEJUANG BRIGED QASSAM

MENJATUHKAN PESAWAT PENINJAU TANPA PILOT

MENEMBAK 4 HELIKOPTER

MEMUSNAHKAN 47 KERETA KEBAL DAN KENDERAAN TENTERA

MELANCARKAN 980 ROKET DAN MISIL KEARAH BANDAR2 ISRAEL

TIDAK ADA SEORANG PUN DIKALANG PEJUANG YANG DITANGKAP.

MELETUPKAN 79 BOM KE ARAH TENTERA ISRAEL.

MENEMBAK HENDAP 53 ORANG TENTERA ISRAEL.

MELANCARKAN 12 SERANGAN HENDAP.

BERTEMPUR SECARA BERDEPAN 19 KALI.

MENAWAN TENTERA2 ISRAEL SEBANYAK 2 KALI DAN SEMUA TENTERA YANG DITAWAN SUDAH DIBOM OLEH JET PEJUANG ISRAEL.

BERJAYA MELANCARKAN SATU SERANGAN BERANI MATI DI ATAS KERETA KEBAL ISRAEL.

MENGHENTIKAN SERANGAN (setelah 13 jam Israel mengistiharkan genjatan senjata sebelah pihak) DAN MEMBERI MASA SEMINGGU KEPADA TENTERA ISRAEL UNTUK KELUAR DARIPADA BUMI GAZZA.

Mereka telah menyatakan kejayaan mereka dalam peperangan dengan tentera Israel. Ini kerana mereka berjaya memusnahkan mekanisma ketenteraan israel dan menundukkan Israel untuk keluar secara berperingkat. Adapun Israel tidak mencapai matlamat mereka untuk menghapuskan HAMAS.

Malahan Abu Ubaidah mengatakan amat sedikit kerugian yang mereka alami dalam peperangan ini. Abu Ubaidah berkata 23 masjid telah dimusnahkan keseluruhannya oleh Israel dgn alas an ia tempat persembunyian para pejuang. Beliau menafikan pejuang bersembunyi di masjid walau sebuah pun.

Bila ditanya tentang pihak keamanan antarabangsa yang hendak menghalang senjata2 diseludup ke pada mereka, beliau menjawab:

"ليفعلوا ما شاؤوا، فإدخال السلاح الطاهر وصناعة السلاح المقاوم هو مهمتنا، ونعرف جيدا كيف ندخله".

“Buatlah apa yang mereka mahu, mendapatkan senjata yang bersih dan membuat senjata pejuang adalah tugas kami. Kami amat mengetahui bagaimana untuk mendapatkannya.”


Ulasan: Pasukan briged Qassam dan briged2 yang lain telah mencapai matlamat mereka iaitu menghalau Israel dr bumi. Adapun Israel tidak berjaya kerana gagal mencapai matlamat mereka. Kenyataan ini disokong dengan kenyataan parti likud (Israel)yg mengatakan tentera Israel tidak mencapai matlamat mereka dan mereka perlu meneruskan serangan terhadap HAMAS.

Kemenangan ini disifatkan oleh Ismail Haniah sebagai kemenangan ketuhanan (intisor rabbani) dan ianya dimiliki oleh semua orang Islam. Kekuatan ketenteraan pejuang hamas tidak terjejas melainkan sedikit. Tidak ada sorang pejuang pun yang ditangkap.

Tentera Israel hanya menangkap orang awam sahaja. 1300 manusia (sehingga saat artikel ini ditulis) yang dibunuh adalah orang awam yang mana 410 dari jumlah tersebut dikalangan kanak2 dan 104 dikangan wanita. Kemusnahan secara besar2an hanya pada bangunan awam dan rumah penduduk bukannya pada kekuatan ketenteraan pejuang palestin.

Abu Ubaidah menyifatkan kekuatan roket mereka tidak terkesan dengan peperangan selama 22 hari tersebut. Ini kerana kekuatan mereka sangat besar sperti yang dinyatakan oleh pakar ketenteraan Sofwat Zayyat bahawa al-Qassam memiliki puluhan ribu tentera dan tidak kurang 5000 roket. Semoga para pejuang palestin tetap teguh melawan kezaliman tentera Israel. Sabda Nabi saw:

لا تزال طائفة من أمتي على الحق ظاهرين ، لعدوهم قاهرين ، لا يضرهم من جابههم ، إلا ما أصابهم من لأواء
حتى يأتي أمر الله وهم على ذلك.)) قالوا : وأين هم يا رسول الله؟ قال (( ببيت المقدس وأكناف بيت المقدس

Maksudnya: “Sekumpulan dari kalangan ummatku akan mempertahankan kebenaran, mereka mengalahkan musuh2 mereka dan orang2 yang menenteng mereka tidak dapat mengalahkan mereka dan mereka hanya mendapat sedikit kerosakan sehinggalah datangnya kiamat mereka tetap dalam keadaan demikian.” Para sahabat bertanya “Dimanakah mereka hai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Di Baitul Maqdis dan disekelilingnya.”

(Hr Abdullah bin Ahmad dan Thabrani – para perawinya thiqah)


Semoga kita tetap terus memberikan doa, infaq dan boikot untuk mereka. Jangan hangat2tahi himar je. Doa, infaq dan boikot dulu, kini dan selamanya.Yang lebih utama kita menjadi tonggak-tonggak Islam yg berilmu, beramal dan ikhlas.


Bukan sekadar penyokong kerana itu hanya lah buih2 yg lemah. Tonggak Islam mestilah berilmu sebanyak mungkin, mengamalkan segala ilmu Islam dan menyebarkan dan memperjuangkan ajarannya sehingga nafas terakhir.


Rujukan: Siaran tv Al-Jazeera, laman web al-Jazeera, buku al-Quds qadiyyah kullu muslim oleh Qardawi.

Email dari : awe_kmehe@yahoo.com [mygamis] Hamas dan pejuang palestin Boleh juga baca disini: http://akhisalman.blogspot.com/

Sunday, December 14, 2008

Atuk Kata..

ORANG KATA ..... enjoy sementara muda, hidup
panjang lagi,dah tua nanti taubatlah.

ATUK KATA ..... orang muda hidup memang baru
bermula,tapi belum tentu masih panjang lagi,
entah esok lusa Izrail datang menjemput.

AKU RASA ..... betul jugak tu ......

ORANG KATA ..... exams tu susah, kena banyak
sacrifice, constant study ..... past year papers ..
etc .. etc .. etc ..

ATUK KATA ..... exams tu senang aje, dah ada
tarikh untuk diuji, dah ada syllabus untuk diikut,
kalau ajal ... entah bila siapapun tak tahu, banyak
pula tu peringkat ujiannya, Munkar Nankir, Neraca
Mizan, tayangan slide ......

AKU RASA ..... betul jugak tu ......

ORANG KATA ..... have fun on your birthday,
panggil kekawan and sedara mara, berpartylah
sepanjang malam, make it a memorable one!!

ATUK KATA ..... setiap hari jadi, kita semakin
hampir, hampir setahun dengan kematian,
setahun lagi diberi peluang untuk beramal,
bertaubat ......

AKU RASA ..... betul jugak tu ......

ORANG KATA ..... kerja mesti sungguh-sungguh,
beli rumah besar, kereta mewah, makan lazat ......
baru hati puas!

ATUK KATA ..... ye ke hati dah puas?? dah cukup
ibadah nak tempah kubur luas-luas? dah siap
kenderaan meluncur Siratul Mustaqim? dah cukup
zikir untuk santapan rohani? dah cukup amal
nak 'book' tempat Al-Firdaus?

AKU RASA ..... betul jugak tu ......

ORANG KATA ..... successful people have a
good time management, ada bisnes di KL, New
York, Tokyo ..... masih sempat berkempen untuk
pilihanraya, masih sempat melepas lelah di disko
dan karaoke, masih sempat pasang perempuan
2-3, baru orang boleh respect!

ATUK KATA ..... setiap manusia dapat 24 jam
dlm sehari, tapi ..... ada masa ke untuk sujud di
sejadah 5 kali sehari semalam? ada masa ke nak
selak Al-Quran sekali sehari? ada masa ke
nak jenguk ibu ayah di kampung, sekali dalam
seminggu, atau sebulan, atau setahun?

AKU RASA ..... err ..... betul jugak tu ......

wallahu'alam..

Sunday, November 23, 2008

4 Syarat Hidupkan Hati Dengan Al-Quran

HATI yang hidup menggerakkan potensi yang ada pada diri seseorang. Sebaliknya, hati yang mati membunuh segala bakat dan potensi diri. Sesuatu umat hanya boleh dibangunkan dengan menggerakkan potensi dirinya serta mengarahkannya kepada pembangunan. Dengan pengutusan Rasulullah SAW, segala bakat dan potensi sahabat yang selama ini terpendam digerakkan dengan penghayatan al-Quran.

Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk mendengar, melihat dan menerima kebenaran.

Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan. Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan penuh khusyuk, takwa serta kasih dan simpati kepada sesama makhluk.

Hati yang dihidupkan dengan al-Quran bersedia mematuhi segala perintah syarak.

Dengan mematuhi segala perintah syarak barulah kehidupan manusia akan sempurna. Bukankah Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini membimbing ke jalan yang lurus (benar).” (Surah al-Isra’, ayat 9).

Perkara ini disebutkan juga dalam firman-Nya bermaksud: “Taha (maknanya hanya diketahui Allah). Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu supaya kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah; iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi?” (Surah Taha, ayat 1-4).

Maka untuk menghidupkan hati dengan al-Quran, kita memerlukan beberapa syarat:

Pertama, al-Quran hendaklah dibaca dengan tenang dan khusyuk, dalam keadaan bersunyi diri (berkhalwah), terutama pada waktu tengah malam atau fajar (Subuh).

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya membaca al-Quran pada waktu fajar (Subuh) itu disaksikan malaikat.” (Surah al-Isra’, ayat 78).

Kedua, membaca al-Quran dengan pengamatan maknanya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Tidakkah mereka merenungi (tadabur) al-Quran itu?” (Surah Muhammad, ayat 24).

Pembacaan yang disertai dengan renungan dan pengamatan sedemikian akan membuka pintu hati seseorang untuk menerima kebenaran yang terkandung dalam al-Quran.

Dengan perkataan lain, roh dari alam tinggi (alam Ketuhanan) yang dibawa oleh al-Quran itu akan turun dan meresapi ke dalam hati pembaca al-Quran kemudian ia menghidupkannya.

Dengan itu hati dapat mengenal kebenaran dengan mudah dan mencintainya. Nilai kebenaran dan kebaikan akan tumbuh subur dalam jiwanya. Lantas ia menyukai kedua-keduanya, tetapi membenci dan menentang kebatilan dan kejahatan.

Ketiga, sentiasa bersikap bersedia untuk menerima kebenaran al-Quran sebelum membaca atau mendengarnya.

Manusia sering dikuasai oleh hawa nafsunya. Segala keinginan dunia (hingga membawa kepada kegilaan) adalah dinding (hijab) tebal yang menutup hati seseorang itu sehingga menyebabkan enggan menerima hidayah Allah melalui al-Quran.

Keempat, merealisasikan kehambaan (’ubudiyyah) diri sewaktu membaca al-Quran.

Perasaan ini akan dapat menimbulkan keazaman untuk merealisasikan segala ajaran al-Quran yang dibaca itu dalam kehidupan. Ini semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah.

Dalam perkataan lain, pembacaan yang sedemikian akan menimbulkan keazaman untuk bermujahadah iaitu melawan kemahuan diri yang bertentangan dengan tuntutan ‘ubudiyyah kepada Allah.

Melaksanakan segala perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran adalah tafsiran makna ayat yang dibacanya itu di dalam kehidupan.

Untuk memastikan ia terus hidup dan segar, maka hati perlu sentiasa menjalani proses mujahadah (melawan segala kemahuan diri yang bertentangan dengan ajaran Islam).

Hati yang tidak bermujahadah, ertinya hati itu beku dan kotor. Hati yang kotor dan beku menyebabkan seseorang itu tidak ingin melakukan kebaikan, malah ia sentiasa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Huzaifah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam.

“Begitu juga dengan hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi kepada dua.

“Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga yang berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan.” (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Iman, Hadis No. 207)