Friday, June 11, 2010

Kenyataan Rasmi PERMAYA Berkenaan Penangkapan Pelajar Malaysia Di Yaman

Assalamualaikum w.b.t

Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) memandang serius terhadap kenyataan yang telah disiarkan di dalam akhbar-akhbar berkenaan dengan isu penangkapan 2 orang pelajar Malaysia di Yaman. Oleh yang demikian pihak kami ingin menegaskan bahawa :-


01. Pihak kami menafikan dengan sekeras-kerasnya penglibatan para pelajar Malaysia di Yaman dengan rangkaian Al-Qaeda atau pun mana-mana pertubuhan pengganas.

02. Secara jelasnya tujuan mereka datang ke bumi Yaman adalah untuk mempelajari bahasa arab, dan ditangkap atas dasar tiada permit untuk keluar dari Sana’a bukannya seperti khabar angin yang di gembar gemburkan oleh mana-mana pihak.

03. Mereka yang terlibat tidak berdaftar dengan pihak Persatuan Pelajar Malaysia Yaman dan pihak kami tidak mempunyai sebarang maklumat lengkap mengenai mereka.

04. Maklumat lengkap berkenaan kes ini belum lengkap, oleh yang demikian pihak kami mengharapkan agar tidak ada spekulasi rambang tanpa merujuk dahulu kepada pihak Kedutaan Malaysia di Yaman dan pihak Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA).

Sekian, terima kasih.


Yang berusaha,

Megat Firdaus bin Megat Basri
Presiden
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman
Sesi 2010 / 2011

Sunday, June 6, 2010

Pengganas Yahudi Zionis Menyerang Lagi!


Petang tadi, jurucakap kerajaan haram Yahudi Israel diasak bertubi-tubi oleh wartawan berita Channel 4, sebuah siaran TV di United Kingdom. Ia berkaitan serangan terhadap rombongan kemanusian terdiri dari enam buah kapal di perairan antarabangsa. Rombongan tersebut digelar "Gaza Freedom Flotilla"


Dengan muka selamba dan tidak mengendahkan sebarang pertanyaan panas oleh wartawan terbabit. Jurucakap tersebut seperti biasa beralasan bahawa serangan yang dilakukan adalah kerana mempertahankan diri. Walaupun jawapan itu telah diketahui karut dan tidak waras, mereka sama sekali tidak peduli. Senjata juga kononnya dijumpai berada di dalam kapal-kapal terbabit, namun ia hanyalah spanar, pisau, parang dan tukul. Tidak munasabah alat sedemikian boleh dianggap senjata melawan Israel.

Egonya ternampak jelas, walau nama United Nations (UN) disebut berkali-kali oleh wartawan sebagai menuntut siasatan dan kecaman serangan dan pembunuhan sekitar 10-20 orang awam dan menyebabkan kecederaan puluhan yang lain selain membuat tangkapan dan serangan di perairan antarabangsa. Kini, semua ahli rombongan sedang ditahan dan kita sangat bimbang apabila terdapat ramai wanita muslimah khususnya dari Turki yang turut ditahan ketika ini.

Namun, tiada sebarang rasa hormat atau apa jua kepada apa sahaja nama yang disebut, apa jua kerajaan. Itulah tahap keangkuhan kerajaan haram Yahudi Israel.Serangan dan penahanan itu selain melibatkan warga Malaysia, ia juga melibatkan warga sekitar 41 orang warga British. Keadaan itu memaksa UK untuk bersuara menuntut penyiasatan lengkap dan telus.

YAHUDI ISRAEL ADALAH TERRORIST

Benar, itulah Yahudi Israel Zionis jika dilhat dari definisi terrorist menurut kerajaan Amerika

'Under Section 3 of Executive Order 13224 "Blocking Property and prohibiting Transactions with Persons who commit, threaten to commit, or support Terrorism", the term "terrorism" means an activity that...

(i) involves a violent act or an act dangerous to human life, property, or infrastructure; and

(ii) appears to be intended

• to intimidate or coerce a civilian population;

• to influence the policy of a government by intimidation or coercion; or

• to affect the conduct of a government by mass destruction, assassination, kidnapping, or hostage-taking.'

Selain itu, mereka turut menunjuk kuasa melebihi US, Eropah dan dunia apabila tidak mengambil peduli kecaman masyarakat antarabangsa kerana menyerang rombongan kemanusian di perairan antarabangsa. Akhbar Britain, 'The Independent' hari ini turut menyiarkan beberapa kritikan media Israel terhadap tindakan kerajaannya, antara yang paling menarik adalah kata-kata Ben Caspit, di akhbar Isreal, Maariv, katanya:

"The Israeli image took a mortal blow and all this happened deep in International Waters and turned Israel into a pirate state".

Memang benarlah apa yang dikatakan, Israel sememangnya negara Lanun yang dihuni oleh lanun-lanun.

BANTUAN TERPANTAS KITA

La hawla wal Quwwata Illah billah, bantuan terpantas daripada kita buat masa ini adalah qunut nazilah, serta doa buat umat Islam Palestin dan moga Allah s.w.t menghancurkan tentera Israel dengan tenetra MalaikatNya. Jika doa Muslim Palestin tidak mencukupi bagi mendapatkan kemaqbulan di ketika ini, marilah kita sama-sama dengan segera membantu mereka, di harap doa kita mampu membantu mereka dalam kadar segera.

Sememangnya ramai yang tidak peduli dengan serangan ini. Pemimpin arab dan barat semuanya akan bermain dengan kata-kata semata-mata. Tanpa menafikan adalah lebih baik pemimpin yang berkata dan mengecam dari yang terus senyap membisu seribu bahasa.

Teruskan berdoa untuk keselamatan rakyat Palestin khususnya yang semakin tersekat bantuan asasinya, demikian juga Iraq dan umat Islam, doakan bala bagi Yahudi, pemimpin Amerika dan rakyatnya yang menyokong, pemimpin Mesir dan sekutunya-sekutu mereka yang membuka jalan dan menyokong serangan pengganas Yahudi ini. Doa kita boleh bacanya sebagai :-

a- Qunut Nazilah dalam setiap solat fardhu kita, kita juga dibenarkan untuk memegang kertas doa semasa qunut tersebut kerana tentunya sukar untuk menghafalnya. Itu tidak membatalkan solat dalam semua mazhab termasuk mazhab Syafie kerana anda tidak bergerak besar berturut-turut sebanyak tiga kali. Hanya angkat sekali kertas doa, berhenti sebenar kerana membaca, kemudian terus turun sujud, tiada berturut-turut.

b- Doa semasa sujud dalam setiap solat. Ia lebih maqbul berdasarkan nas yang sohih.

c- Khatib bacalah doa untuk Palestin di hujung khutbah Jumaat.

d- Dan banyak lagi waktu doa maqbul.

TINGKATKAN KEPEDULIAN

Akhir sekali, tingkatkan kepedulian kita terhadap nasib saudara kita umat Islam.

Jangan dirasakan usaha kita sangat kerdil, tidak mampu memberi sebarang kesan. Yakinilah bantuan Allah, sangka baiklah dengan Allah, nescaya Allah bersama hambaNya yang bersangka baik dan mentaatinya.

Sebagai sebuah hadis qudsi ertinya:

أنا عند ظن عبدي بي ، وأنا معه إذا ذكرني

Allah menyebut : 'Aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, dan aku bersama mereka apabila mereka mengingatiKu.' (Riwayat Muslim)

Sebahagian riwayat lain pula berbunyi :-

أنا عند ظن عبدي بي إن ظن خيرًا فله وإن ظن شرًا فله

Ertinya: 'Aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, sekiranya mereka bersangka baik, maka akan ditunaikan, jika mereka bersangka buruk, turut akan ditunaikan.'( Riwayat Ahmad, Ibn HIbban)

Sumber: Dipetik di sini, serta untuk bacaan doa Qunut Nazilah yang penuh.


Saturday, May 8, 2010

Manfaat Bersangka Baik

Hubungan yang baik antara satu dengan lain dan khususnya antara muslim yang satu dengan muslim lainnya merupakan sesuatu yang harus dijalin dengan sebaik-baiknya. Ini kerana Allah telah menggariskan bahawa mukmin itu bersaudara. Itulah sebabnya, segala bentuk sikap dan sifat yang akan memperkukuh dan memantapkan persaudaraan harus ditumbuhkan dan dipelihara, sedangkan segala bentuk sikap dan sifat yang dapat merosak ukhuwah harus dihilangkan.

Agar hubungan ukhuwah islamiyah itu tetap terjalin dengan baik, salah satu sifat positif yang harus dipenuhi adalah husnuzh zhan (berbaik sangka). Oleh kerana itu, apabila kita mendapatkan informasi negatif tentang sesuatu yang terkait dengan peribadi seseorang apalagi seorang muslim, maka kita harus melakukan tabayyun (penyelidikan) terlebih dahulu sebelum mempercayainya apalagi meresponnya secara negatif, Allah berfirman yang ertinya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." Q.S Al-Hujuraat : 6 "

Manfaat Berbaik Sangka
Ada banyak nilai dan manfaat yang diperolehi seseorang muslim bila dia memiliki sifat husnuzh zhan kepada orang lain.

Pertama, hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik, perkara ini kerana berbaik sangka dalam hubungan sesama muslim akan menghindari terjadinya keretakan hubungan. Bahkan keharmonian hubungan akan semakin terasa kerana tidak ada halangan psikologis yang menghambat hubungan itu.

Kedua, terhindar dari penyesalan dalam hubungan dengan sesama kerana buruk sangka akan membuat seseorang menimpakan keburukan kepada orang lain tanpa bukti yang benar, Allah berfirman sebagaimana yang disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 6 di atas.

Ketiga, selalu berbahagia atas segala kemajuan yang dicapai orang lain, meskipun kita sendiri belum dapat mencapainya, perkara ini memiliki erti yang sangat penting, kerana dengan demikian jiwa kita menjadi tenang dan terhindar dari iri hati yang boleh berkembang pada dosa-dosa baru sebagai kelanjutannya.

Ini bererti kebaikan dan kejujuran akan membawa kita pada kebaikan yang banyak dan dosa serta keburukan akan membawa kita pada dosa-dosa berikutnya yang lebih besar lagi dengan dampak negatif yang semakin banyak.

Ruginya Berburuk Sangka
Manakala jika kita melakukan atau memiliki sifat berburuk sangka, ada sejumlah kerugian yang akan kita perolehi, baik dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat.

Pertama, mendapat dosa. Berburuk sangka merupakan sesuatu yang jelas-jelas bernilai dosa, kerana disamping kita sudah menganggap orang lain tidak baik tanpa dasar yang jelas, berusaha menyelidiki atau mencari-cari keburukan orang lain, juga akan membuat kita melakukan dan mengungkapkan segala sesuatu yang buruk tentang orang lain yang kita berburuk sangka kepadanya, Allah berfirman yang ertinya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
" Q.S Al-Hujuraat : 12 "

Kedua, dusta yang besar. Berburuk sangka akan membuat kita menjadi rugi, kerana apa yang kita kemukakan merupakan suatu dusta yang sebesar-besarnya, perkara ini disabdakan oleh Rasulullah:

"Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta" HR. Muttafaqun alaihi."

Ketiga, menimbulkan sifat buruk. Berburuk sangka kepada orang lain tidak hanya berakibat pada penilaian dosa dan dusta yang besar, tetapi juga akan mengakibatkan munculnya sifat-sifat buruk lainnya yang sangat berbahaya, baik dalam perkembangan peribadi mahupun hubungannya dengan orang lain, sifat-sifat itu antara lain ghibah, kebencian, hasad, menjauhi hubungan dengan orang lain dll. Dalam satu hadith, Rasulullah bersabda:


"Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang benar dan selalu memilih kebenaran dia tercatat di sisi Allah seorang yang benar (jujur). Berhati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta dia tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta." HR. Bukhari.

Larangan Berburuk Sangka
Kerana berburuk sangka merupakan sesuatu yang sangat tercela dan mengakibatkan kerugian, maka perbuatan ini sangat dilarang di dalam Islam sebagaimana yang sudah disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 12 di atas. Untuk menjauhi perasaan berburuk sangka, maka masing-masing kita harus menyedari betapa hal ini sangat tidak baik dan tidak benar dalam hubungan persaudaraan, apalagi dengan sesama muslim dan aktivis dakwah.

Disamping itu, bila ada benih-benih di dalam hati perasaan berburuk sangka, maka perkara itu harus segera dicegah dan dijauhi kerana ia berasal dari godaan syaitan yang bermaksud buruk kepada kita. Dan yang lebih penting lagi adalah memperkukuh terus jalinan persaudaraan antara sesama muslim dan aktivis dakwah agar yang selalu kita kembangkan adalah berbaik sangka, bukan malah berburuk sangka. Oleh kerana itu, Khalifah Umar bin Khattab menyatakan:

"Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari seorang saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahawa kata-kata itu mengandungi kebaikan."

Demikian perkara-perkara dasar yang harus mendapat perhatian kita dalam kaitan dengan sikap husnuzh zhan (berbaik sangka). Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku. Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku.

Sunday, April 18, 2010

Meneliti Aib Diri Sendiri


Nukilan ini dari (Hujjatul Islam) Imam Ghazali:

Jika ALlah Azza wa Jalla menginginkan kebaikan bagi seseorang, ia akan membuat orang itu dapat melihat aib-aibnya. Orang yang memiliki basiroh (mata hati) yang tajam akan mengetahui aib-aibnya. Jika ia telah mengetahui aib-aibnya, maka ia dapat mengubatinya. Namun kebanyakan orang tidak mengetahui aibnya sendiri. Manusia dapat mengetahui kotoran yang terdapat di mata temannya, tetapi ia tidak mampu melihat ranting di depan matanya.

Barangsiapa hendak mengetahui aib-aibnya, maka ia hendaklah menempuh empat jalan berikut :

1. Duduk di hadapan seorang guru yang mampu mengetahui keburukan hati dan pelbagai bahaya yang tersembunyi di dalamnya. Kemudian ia mempasrahkan dirinya kepada guru dan mengikut petunjuknya dalam bermujahadah membersihkan aib itu. Ini adalah keadaan seorang murid dengan syeikhnya dan seorang pelajar dengan gurunya. Guru akan menunjukkan aib-aibnya dan cara merawatnya, tetapi di zaman ini guru seperti ini amat sukar dicari.

2. Mencari seorang teman yang jujur, memiliki basiroh (mata hati yang tajam) dan berpegang pada agama. Ia kemudian menjadikan temannya itu sebagai pengawas yang mengamati keadaan, perbuatan serta semua aib batin dan zahirnya sehingga ia dapat memperingatkannya. Demikian inilah yang dahulu dilakukan oleh orang-orang yang cerdik, orang-orang yang terkemuka dan para pemimpin agama.

Umar RadiyaLlahu 'anhu berkata : "Semoga Allah merahmati orang yang dapat menunjukkan aib-aib kepadaku."

Ketika Salman mengunjunginya, beliau berkata : "Cuba sebutkan perilakuku yang tidak engkau sukai."

Salman menolak dengan halus. Tetapi beliau terus memaksa. Akhirnya Salman berkata : "Aku mendengar engkau makan dengan 2 lauk dan memiliki 2 pakaian: satu engkau memakainya di siang hari dan satu lagi engkau memakainya di malam hari."

"Selain itu adakah hal lain yang engkau tidak sukai?" Tanya Saidina Umar.

"Tidak"

"Sesungguhnya dua perbuatan yang engkau sebutkan tadi telah kutinggalkan," ucap beliau.

Beliau (Saidina Umar RadiyaLlahu 'anhu) pernah bertanya kepada Huzaifah. "Engkau adalah sohibus sir (orang yang mengetahui pelbagai rahsia. Di antaranya Huzaifah mengetahui siapa yang munafik dan siapa yang bukan munafik) RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam yang dapat mengenali orang munafik. Apakah engkau melihat tanda-tanda kemunafikan pada diriku?"

Perhatikan, Saidina Umar dengan kedudukan yang agung dan mulia masih mencurigai dirinya. Semakin cemerlang akal seseorang dan semakin tinggi kedudukannya, ia akan jarang berbangga hati dan semakin sering mencurigai dirinya sendiri. Yang kedua ini juga sudah sukar untuk dicari. Sedikit teman yang mahu berterus terang dan menunjukkan aib kita.

3. Berusaha mengetahui aib dari ucapan musuh-musuhnya. Sebab, pandangan yang penuh kebencian akan berusaha menyingkap keburukan seseorang. Boleh jadi manfaat yang diperolehi seseorang dari musuh yang sangat membencinya dan suka mencari-cari kesalahannya adalah lebih banyak dari teman yang suka bermanis muka, memuji dan menyembunyikan aib-aibnya.

Namun, sudah menjadi watak manusia untuk mendustakan ucapan musuh-musuhnya dan menganggapnya sebagai ungkapan kedengkian. Tetapi, orang yang memiliki mata hari jernih mampu mengambil pelajaran dari pelbagai keburukan dirinya yang disebutkan oleh musuhnya.

4. Bergaul dengan masyarakat. Setiap kali melihat perilaku tercela seseorang, maka ia segera menuduh dirinya sendiri juga memiliki sifat tercela itu. Kemudian ia tuntut dirinya untuk segera meninggalkannya. Sebab, seorang Mukmin adalah cermin bagi Mukmin lainnya. Ketika melihat aib orang lain ia akan melihat aib-aibnya sendiri.

Tuesday, April 6, 2010

Mengapa Allah dahulukan CINTA


"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan cinta(mawaddah) dan belas kasihan(rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Ar-Rum:21)

Pergi ke mana sahaja forum atau ceramah yang berkisarkan dengan cinta,tidak kisahlah cinta manusia ataupun cinta monyet, penceramah pasti menggunakan ayat di atas bagi mengupas isu cinta kerana pada ayat ini Allah secara berterus-terang menyatakan manusia diciptakan untuk saling mencintai malah ayat ini menekankan bahawa perasaan cinta itu harus ada untuk dua jantina yang berbeza, lelaki dan perempuan, suami dan isteri.Maka,tidak hairanlah jika ayat ini dipilih oleh penceramah untuk menerangkan tentang cinta. Ayat yang sama saya dengari pada khutbah minggu lepas yang berkisarkan tentang perkahwinan. Khatib menjelaskan bahawa masalah atau kanser yang berlaku dalam masyarakat kita berpunca daripada institusi keluarga dan masalah dalam institusi keluarga ini bermula di saat perkahwinan lagi.

Berapa ramai yang hidup mewah tapi tidak bahagia kerana isteri dan berapa ramai yang hidup bahagia tetapi tidak mewah,juga kerana isteri. Isteri mesti memainkan peranan dalam menjaga kebahagian rumah tangga dan begitu juga suami.Dan masalah pada hari ini juga berlaku dek kerana ibu bapa menyekat anak-anak daripada berkahwin awal,atas alasan mereka belum bersedia dan tidak mampu menanggung anak orang.Jadi,mereka yang dikatakan tidak bersedia itu tanpa segan silu mencari pasangan yang juga kurang bersedia untuk melepaskan nafsu mereka. Ana terus angguk dan mengangguk,bersetuju dengan apa yang dibicarakan oleh khatib. Tiba-tiba,apabila khatib membaca ayat di atas dan menekankan perkataan mawaddah dan rahmah itu,ana tersentak dan tersedar akan satu kebesaran Allah dalam penciptaan manusia. Seperti ana selalu tulis,ayat quran tidak diturunkan secara rawak.Jika Allah sebut baik dulu baru sempurna,maka ada sebabnya. Jika Allah sebut perempuan dahulu baru lelaki,juga ada sebabnya.Allah tidak pernah mengeluarkan apa-apa fakta yang tidak mengikut susunan.Allah susun ayat Nya satu demi satu,dari setitis air mani,Allah susun kepada embrio,fetus dan manusia.Lihatlah betapa agungnya Al-Quran dan hal ini menjelaskan kepada kita bahawa bukan Muhammad yang menulis semua ini.Namun, jangan sesekali kita menafikan kebijaksanaan dan mukjizat Rasulullah.

Persoalannya di sini,mengapa Allah sebut cinta dahulu baru kasih sayang?Kenapa Mawaddah dahulu baru Rahmah? Jika ikut kepada akal yang waras,mestilah berkasih sayang dahulu barulah cinta itu lahir tapi mengapa Allah sebut cinta dahulu barulah berkasih sayang?Pelik tapi ada logiknya. Semua ini sebenarnya menepati fitrah kehidupan manusia.Kitaran hidup manusia bermula daripada bayi kepada kanak-kanak kepada remaja kepada dewasa kepada orang tua.Dan kebiasaan manusia berkahwin pada umur 15(baligh)-40(sebelum monopause) iaitu ketika kitaran remaja dan dewasa.Memang ada kanak-kanak yang kahwin seperti Saidatina Aishah dan memang benar ada juga orang tua yang kahwin tetapi bilangan golongan sebegini tersangatlah sedikit.Maka,boleh diabaikan.


Kenapa manusia berkahwin waktu remaja dan dewasa? Kerana waktu itulah perasaan cinta sesama manusia tersangatlah kuat. Kenapa anda bercinta? Sebab matanya yang cantik macam Heliza. Sebab suaranya merdu macam Siti Nurhaliza. Sebab wajahnya lawa seperti Lisa Surihani. Sebab kebijaksanaannya seperti Sofea Yusof. Sebab perangainya baik seperti Aisha dalam Ayat-Ayat Cinta. Jadi,bilakah semua sebab-sebab ini tertonjol dalam kitaran hidup manusia? Waktu kanak-kanak mereka? Waktu tua mereka? TIDAK,tetapi dalam waktu remaja dan dewasa.

Sebab Allah sebut cinta dahulu kerana Allah menyuruh kita betul-betul bercinta dengan pasangan kita pada waktu remaja dan dewasa supaya lahirnya perasan kasih dan sayang di dalam diri masing-masing kerana ketika waktu tua,semua sebab-sebab kita mencintainya sudahpun hilang,pudar dek usia yang memakannya. Dia yang mukanya lawa sudahpun berkedut… Dia yang suaranya merdu sudahpun sumbang… Dia yang perangainya baik sudahpun terlantar tidak mampu berkata apa-apa lagi.. Waktu inilah hasil cinta di waktu remaja dan dewasa tadi perlu digunakan.Jika tiada cinta,perasaan kasih dan sayang sukar diwujudkan.

Benar,perasaan kasih mungkin ada,kasihan melihat dia yang tiada tempat pergantungan, kasihan melihat dia yang terbaring tidak bergerak,kasihan melihat dia yang terberak di dalam seluar tetapi sejauh mana kasihan ini akan pergi jika tiada sayang? Mulut hanya mampu berkata kasihan tetapi tiada sebarang tindakan akan diambil kerana tiada sayang. Kenapa tiada sayang? Kerana tiada cinta.
“Allahuakbar,Allahuakbar…”Bilal melaungkan iqamah,menyedarkan ana dari lamunan panjang.